CIDB Malaysia Dan Kerajaan Negeri Kelantan Meterai MOU Untuk Pembangunan Taman Perindustrian IBS | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
244755460_417166303309402_5193646931449401143_n.jpg

CIDB Malaysia Dan Kerajaan Negeri Kelantan Meterai MOU Untuk Pembangunan Taman Perindustrian IBS

CIDB Malaysia Dan Kerajaan Negeri Kelantan Meterai MOU Untuk Pembangunan Taman Perindustrian IBS

KOTA BHARU (17 Oktober 2021) – Kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama Kerajaan Negeri Kelantan bakal mewujudkan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang pertama di negara ini. Kerjasama ini dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh CIDB bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Taman Perindustrian IBS ini yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Kecemerlangan IBS di Kelantan akan dibangunkan di tanah berkeluasan 200 ekar di Sungai Bagan, Machang yang telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Ia akan memperkukuhkan jaringan ekosistem IBS di Malaysia seterusnya dapat meningkatkan bilangan penggiat IBS terutamanya di kalangan Bumiputera dan usahawan kecil dan sederhana (SMEs).

Pembangunan Taman Perindustrian IBS ini selari dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 dan akan dibangunkan di dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Di bawah RMKe-12, CIDB melalui Kementerian Kerja Raya telah membuat permohonan peruntukan RM74 juta kepada EPU bagi Pembangunan Taman Perindustrian ini. Penggunaan IBS secara menyeluruh dapat membantu dalam mengurus kos pembinaan perumahan. Insentif IBS juga akan disemak semula untuk menggalakkan pemaju menggunakan teknologi IBS bagi meningkatkan kualiti, mengawal kos dan meningkatkan kecekapan.

2 Taman Perindustrian IBS ini akan mengumpulkan semua pengusaha produk-produk pembinaan terutama yang berkaitan IBS dan teknologi muncul (emerging technologies), menjadikannya Pusat Rujukan Setempat (One Stop Center) bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan industri pembinaan di Pantai Timur. Program Kecemerlangan IBS ini bakal memberi peluang pekerjaan kepada lebih 3500 tenaga kerja. Konsep Taman Perindustrian IBS ini juga turut dibangunkan di beberapa negeri lain yang akan membantu keseluruhan ekosistem sektor pembinaan di Malaysia.

MoU ini ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan, YB Dato’ Kaya Setia Datuk Nazran Bin Muhammad dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Bin Abdul Hamid. Majlis disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob serta Menteri Kanan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed.

Latar Belakang Hasrat bagi meningkat dan memperkembangkan penggunaan kaedah pembinaan IBS telah bermula pada 25 Februari 2018, di mana telah termeterai satu kerjasama CIDB Malaysia melalui anak syarikatnya iaitu CIDB IBS Sdn Bhd dengan Persatuan Kontraktor Perumahan Kelantan (PKPK) bagi membangun dan meluaskan penggunaan IBS dalam sektor pembinaan rumah kediaman khususnya di negeri Kelantan. Melalui kerjasama ini antaranya telah berjaya memberi khidmat nasihat teknikal dari segi rekabentuk, pengilang dan pemasangan IBS, pemindahan teknologi sistem terbuka berdasarkan katalog standard komponen, program latihan dan pembangunan kapasiti termasuk program attachment bagi latihan serta praktikal serta persediaan tapak.

Hasil kerjasama antara CIDB IBS dan PKPK ini telah menjadi pemangkin bagi projek pembinaan di Kelantan menggunapakai kaedah pembinaan IBS dan ini menjadi titik tolak kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang berhasrat ingin mengembangkan ruang kerjasama secara lebih meluas kepada usahawan di Kelantan terutama dalam sektor pembinaan. Salah satu kaedah terbaik bagi merealisasikan agenda tersebut adalah melalui cadangan pembinaan Taman Perindustrian IBS.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
 244624606_417165596642806_1101480014424714618_n.jpg
 244679572_417165616642804_6501645451195377065_n.jpg
 244948327_417165619976137_1151529961384493078_n.jpg
 245045611_417165609976138_9041221350886116727_n.jpg
 245158459_417165626642803_5527730987597973330_n.jpg
 245172387_417166309976068_1069998067956622749_n.jpg