BUDAYAKAN SEMANGAT MUAFAKAT DALAM PELAKSANAAN PROJEK DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT
SABAH, 23 JANUARI 2025 - Seusai Mesyuarat Intervensi Penyelarasan Pemantauan Program/Projek Pembangunan Persekutuan di Negeri Sabah Bil. 1/2025, YBhg Dato' Mohd Sakeri Bin Abdul Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia bersama-sama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah turun ke lapangan untuk meninjau kemajuan pelaksanaan dua (2) projek infrastruktur jalan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, Sabah.
Lawatan dimulakan di tapak Projek Menaik Taraf Jalan UMS dan Jalan Sepanggar termasuk 4 Persimpangan di Jalan Kingfisher, Jalan UMS, Rampayan dan Jalan Sepanggar; dan diikuti dengan Projek Menaik Taraf Jalan Donggongon-Tambunan dari Persimpangan ITCC ke Persimpangan Jalan Datuk Panglima Banting, Penampang, Sabah.
Taklimat ringkas mengenai kemajuan projek serta perancangan/sasaran kerja telah diberikan di lapangan dan pejabat tapak projek.
Pihak yang terlibat telah diingatkan supaya bertindak proaktif dan membudayakan semangat muafakat dalam mendepani apa jua cabaran dalam memastikan projek ini disiapkan dengan sempurna demi kesejahteraan rakyat, khususnya di Negeri Sabah.
KKR Malaysia sentiasa bekerjasama rapat dengan JKR Sabah dalam memastikan projek-projek Persekutuan di Sabah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
- Log in to post comments