6 SURAT SETUJU TERIMA (SST) BAGI PEMBINAAN PROJEK INFRASTRUKTUR JALAN RAYA DAN JAMBATAN | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

6 SURAT SETUJU TERIMA (SST) BAGI PEMBINAAN PROJEK INFRASTRUKTUR JALAN RAYA DAN JAMBATAN

KUALA LUMPUR, 25 FEBRUARI 2025 - Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited dalam menyediakan infrastruktur yang berkualiti, selamat dan selesa bagi meningkatkan aksesibiliti, mobiliti dan saling keterhubungan antara rakyat Malaysia bandar dan luar bandar selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Program MYJALAN.  

Bagi melaksanakan komitmen ini serta sebagai peneraju pembangunan infrastruktur negara, YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hadir menyaksikan YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail selaku Ketua Pengarah Kerja Raya menyerahkan surat pelantikan kepada enam orang Pegawai Penguasa Projek yang terdiri daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri dan Jurutera Awam Penguasa Kanan, Unit Projek Khas serta enam Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang terlantik.  

SST yang diserahkan hari ini adalah untuk projek berikut:  

a. Projek Menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah Seremban (FT362, Seksyen 0.4 hingga 3.1) dan Membina Jejambat Merentasi Lebuhraya Utara Selatan, Seremban, Negeri Sembilan. Kontraktor yang menerima SST adalah Syarikat Naza Engineering & Construction Sdn. Bhd. Projek akan bermula pada 9 April 2025 dan dijadualkan siap pada April 2028 dengan kos projek sebanyak RM194 juta. Jalan ini akan dinaik taraf daripada jalan tunggal dua lorong dengan Piawaian JKR U4 kepada jalan berkembar empat lorong sepanjang 2.7 km dengan Piawaian JKR U5 termasuk membina jambatan dengan piawaian JKR U5 merentasi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).  

b. Projek pembinaan Seksyen 1B Lingkaran Tengah Utama (LTU), di Kelantan bernilai RM425.2 juta dan kontraktor yang terpilih ialah Syarikat KCJ Engineering Sdn. Bhd. Tarikh milik tapak bagi projek ini adalah pada 24 Februari 2025 dan dijadualkan siap pada Februari 2028 dengan skop membina jalan baharu empat lorong dua hala sepanjang 14.75 km dari Kampung Sungai Peria ke Kampung Laloh, Kelantan berasaskan piawaian JKR R5, membina dua buah persimpangan bertingkat dan dua buah jambatan merentasi Sungai Sok; 

c. Projek pembinaan Jalan Baru di Bandar 34, Bera, Pahang (Fasa 2) bernilai RM68.9 juta. Kontraktor yang terpilih ialah Syarikat Tanmiya Tinnasz Sdn. Bhd. untuk membina jalan baharu sepanjang 8 km dengan Piawaian JKR R3 beserta pemasangan lampu jalan solar dan dijangka siap pada Februari 2028;  

d. Projek Membina Jambatan Kampung Binjai, Kuala Lipis, Pahang bernilai RM63.4 juta. Kontraktor yang dipilih ialah Syarikat Ahmad Zaki Sdn. Bhd, yang telah memulakan kerja pada 12 Februari 2025 dan dijangka siap pada Februari 2028. Projek ini merangkumi pembinaan jambatan baharu sepanjang 395m, kerja menaik taraf jalan tuju serta pembinaan jambatan sementara untuk kegunaan penduduk sekitar ; 

e. Projek Menaik Taraf/Membaik Pulih Jalan dan Infrastruktur Luar Bandar di Kampung Bukit Damar, Mukim Dengkil, Daerah Sepang, Selangor bernilai RM35.6 juta. Kontraktor yang terpilih ialah Syarikat Gading Resources Sdn. Bhd. yang akan melaksanakan kerja–kerja pembinaan jalan baharu sepanjang 2.5 km dengan piawaian JKR R2 dan kerja menaik taraf jalan sepanjang 8.5 km dengan piawaian Jalan Perhubungan Desa (JPD). Projek ini telah dimulakan pada 12 Februari 2025 dan dijangka siap Februari 2028; dan 

f. Projek Menaik Taraf Jalan Kampung Bukit ke Kampung Lubuk Batu, Mukim Derang, Daerah Pokok Sena, Kedah dengan kos projek bernilai RM33.4 juta. Kontraktor yang terpilih ialah Syarikat Puncak Utara Sdn. Bhd. dengan projek yang dijadualkan siap pada Ogos 2028 ini melibatkan skop menaik taraf jalan sepanjang 2.0 km dengan Piawaian JKR R2, menaik taraf persimpangan melibatkan laluan K116, K355 dan jalan desa, serta pembinaan sebuah jambatan.  

Lima projek pembinaan jalan raya ini mengadaptasi Building Information Modeling (BIM) dalam kitar hayat pelaksanaan projek. Model digital yang menjadi sebahagian dari Dasar Pembinaan Kebangsaan (NCP) 2030 ini dijangka akan meningkatkan produktiviti dan pengurusan aset menyeluruh, dan mengurangkan kesilapan serta kos keseluruhan.  

KKR mengucapkan tahniah kepada semua syarikat kontraktor yang dilantik dan berharap mereka dapat memberikan komitmen kepada aspek kualiti terutamanya dari segi pematuhan spesifikasi, kos dan masa yang ditetapkan, serta mengutamakan aspek keselamatan di kawasan tempat kerja. 

KKR melalui JKR Malaysia akan memantau kualiti kerja serta menilai prestasi setiap kontraktor dalam memastikan enam projek akan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat MADANI. 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0