59 Penerima APC KKR Tahun 2021 Dirai : Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kerja Raya
KUALA LUMPUR, 31 MEI 2022 - Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kerja Raya bagi Tahun 2021 (APC KKR 2021) anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) KKR telah berlangsung dengan gemilang di Dewan ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya telah menyampaikan ucaptama seterusnya menyampaikan Sijil APC kepada para penerima yang telah dipilih melalui penilaian oleh Ketua Jabatan.
Tahun ini, jumlah penerima APC KKR 2021 adalah seramai 883 orang yang terdiri daripada 59 orang penerima dari KKR, 713 penerima dari Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), 28 penerima dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan 83 penerima dari Lembaga Pembangunan Indsutri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Namun begitu, selaras dengan keputusan Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia – Prestasi Bilangan 1 Tahun 2022, majlis pada hari ini diadakan secara berasingan dengan agensi di bawah KKR, dan hanya memberi fokus kepada penerima yang bertugas di KKR sahaja.
APC merupakan anugerah yang diberikan Kerajaan kepada pegawai yang telah berkhidmat dengan cemerlang, sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai berkenaan, di atas mutu kerjanya melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya.
Tema APC KKR 2021 ialah “Prestasi Unggul, Pemangkin Kecemerlangan”. Tema ini bersesuaian dengan warga Kementerian Kerja Raya yang sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab, komitmen dan amanah tanpa mengenal erti jemu sejajar dengan moto Kementerian iaitu “Ke Arah Kesejahteraan Rakyat”.
- Log in to post comments