5 Projek Naik Taraf Klinik Desa Berstatus Daif Berjaya Diserah Oleh KKR Kepada KKM | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

5 Projek Naik Taraf Klinik Desa Berstatus Daif Berjaya Diserah Oleh KKR Kepada KKM

Machang, Kelantan, 3 Jun 2023 – Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Jenis 7 telah berlangsung di Klinik Kesihatan Mata Ayer, Machang, Kelantan pada 3 Jun 2023 yang lalu. Majlis Penyerahan ini dihadiri YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri Kerja Raya dan YB Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi teknikal utama negara di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diberi kepercayaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melaksanakan projek-projek fasiliti kesihatan. Lima projek klinik kesihatan telah diserahkan iaitu Klinik Kesihatan Mata Ayer, Machang, Klinik Kesihatan Kerilla, Machang, Klinik Kesihatan Karangan, Kuala Krai, Klinik Kesihatan Peria, Kuala Krai dan Klinik Kesihatan Sokor, Tanah Merah.

Kelima-lima klinik kesihatan ini merupakan klinik desa berstatus daif yang telah dinaiktaraf kepada Klinik Kesihatan Jenis 7. Klinik ini bakal menawarkan perkhidmatan yang telah dinaik taraf seperti Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Klinik Pesakit Luar, Rawatan Kecemasan, Makmal Perubatan Asas dan Farmasi.

Setiap klinik turut dilengkapi empat (4) unit kuarters bagi kemudahan dan keselesaan kepada kakitangan. Projek yang diluluskan dengan kos keseluruhan sebanyak RM30 juta telah mencapai kemajuan 99% dan dijangka akan siap dalam masa terdekat. YB Dr. Zaliha telah mengumumkan bahawa kesemua klinik ini akan mula beroperasi pada 2 Julai 2023.

Penaiktarafan ini dapat meningkatkan taraf penyampaian perkhidmatan dalam pengoperasian klinik justeru memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
13
14