12 PROJEK SIAP JKR MELAKA DISERAHKAN KEPADA KPM
AYER KEROH – Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku Agensi Pelaksana hari ini menyempurnakan Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap JKR Melaka kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertempat di sini hari ini.
Majlis penyerahan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Datuk Seri Fadhlina binti Sidek, serta disaksikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan, bersama pegawai-pegawai kanan KPM dan JKR Malaysia.
Sebanyak 12 projek infrastruktur pendidikan di Melaka telah rasmi diserahkan, merangkumi pembinaan semula bangunan sekolah daif, bilik darjah tambahan, dewan terbuka serbaguna, bangunan modular, serta projek berasaskan Sistem Binaan Berindustri (Industrialised Building System, IBS) di bawah Perancangan RMK-13.
Antara pencapaian utama penyerahan ini melibatkan Projek Pembinaan Semula Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin bernilai RM7.03 juta yang berjaya disiapkan sembilan (9) hari lebih awal daripada jadual asal. Turut diserahkan ialah kemudahan bilik darjah tambahan serta makmal sains tulen di beberapa buah sekolah menengah dan sekolah rendah sekitar negeri Melaka.
Kejayaan penyiapan projek mengikut dan mendahului jadual ini menterjemahkan komitmen KKR dan JKR Malaysia dalam menyediakan kemudahan pendidikan yang selamat, berkualiti, serta kondusif. Pihak JKR akan terus memantau urusan pasca penyerahan sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (Defects Liability Period, DLP) demi memastikan kualiti fasiliti sentiasa terpelihara.
- Log in to post comments