KUALA LUMPUR 23 April - Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM41.5 juta untuk membaik pulih dan menaik taraf 40 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bantuan modal di seluruh negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed (gambar) berkata, projek yang bakal dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu melibatkan 11 sekolah di Selangor dan masing-masing dua di Perak serta Johor.
Menurutnya, kerja bagi melaksanakan projek tersebut diagihkan kepada kontraktor kelas B, C, D, E dan F.
''Tender projek itu akan dikeluarkan bulan depan manakala pembinaannya dijangka dimulakan Julai tahun ini,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad Zin berkata, agihan projek itu kebanyakannya tertumpu kepada kontraktor kelas D (25 projek), kelas F (10 projek), kelas E (tiga projek) dan masing-masing satu projek untuk kelas B dan C.
''Sebanyak 31 projek membabitkan pembinaan bangunan tambahan dan selebihnya projek naik taraf,'' katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar peruntukan bagi melaksanakan projek itu iaitu RM30 juta diluluskan di bawah peruntukan Kementerian Kewangan.
Ia melibatkan 10 SJKT di Selangor, masing-masing tiga di Kedah, Johor dan Perak serta dua di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dan satu di Melaka dan Pahang.
Beliau berkata, di bawah peruntukan Kementerian Pelajaran, RM11.5 juta akan dibelanjakan untuk menaik taraf dan membaik pulih sembilan buah SJKT.
''Di bawah peruntukan sama, enam SJKT akan dapat bangunan tambahan yang terdiri daripada bilik darjah, kantin, tandas untuk keselesaan murid dan guru,'' katanya.