KERJA membaik pulih semua 30 saluran air di bumbung yang menyebabkan kebocoran di laluan ruang legar Parlimen kelmarin akan disiapkan dalam tempoh tujuh minggu.
Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata kerja baik pulih yang mula dilaksanakan hari ini, Sabtu dan Ahad bagi mengelakkan gangguan pada persidangan Dewan Rakyat pada hari-hari lain.
"Kebocoran di laluan ruang legar Dewan Rakyat dikenal pasti berlaku pada sambungan saluran paip hujan di bawah lantai bumbung menyebabkan air menitis melalui jeriji saluran penyaman udara," katanya di lobi Parlimen, semalam.
Mohd Zin berkata, kebocoran itu berlaku apabila hujan lebat kerana air tersekat di sambungan paip hujan yang bengkang-bengkok dan tidak pernah ditukar sejak 46 tahun lalu, menyebabkan takungan air melimpah.
Jabatan Kerja Raya (JKR), katanya akan menggantikan sambungan bengkang-bengkok itu dengan saluran sementara hari ini supaya air hujan boleh turun dengan lebih cepat.
Kejadian hampir sama pernah berlaku pada April 2005 yang menyaksikan bumbung Parlimen bocor ketika Dewan Rakyat bersidang berikutan kesilapan teknikal iaitu penutup kabel elektrik pada bumbung Dewan Rakyat menghalang pengaliran air hujan, yang kemudian masuk ke dalam dewan.