LLM kaji tak naik, kurang kadar tol | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), menubuhkan jawatankuasa khas bagi melaksanakan kajian untuk memastikan tiada kenaikan kadar tol di semua lebuh raya seluruh negara. 

Ketua Pengarah LLM, Datuk Razali Osman, berkata jawatankuasa itu yang dianggotai agensi pakar dalam pelbagai bidang, akan turut meneliti kadar pengurangan tol dan kesannya kepada semua pihak termasuk syarikat konsesi lebuh raya. 

Beliau berkata, kajian itu yang dijangka mengambil masa tiga bulan, akan turut mengambil kira kadar kesesakan yang dijangka bertambah serius berikutan peningkatan kenderaan akibat pengurangan kadar tol berkenaan. 

?Kami baru hendak buat kajian dan menubuhkan jawatankuasa ini seperti yang diarahkan Menteri Kerjaraya (Datuk Mohd Zin Mohamed), pada perhimpunan pagi tadi (semalam). 

?Masih terlalu awal untuk mengetahui hasil kajian itu, kami masih dalam proses melantik pihak berkenaan tetapi yang pasti kami akan memastikan tol tidak akan dinaikkan dalam masa beberapa tahun ini,? katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman kerajaan yang sudah memulakan kajian dan berunding dengan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk menilai semula kadar tol termasuk menurun kadarnya. 

Kelmarin, Mohd Zin berkata, antara yang diambil kira dalam kajian itu ialah memerhati semula unjuran trafik, syarat perjanjian, kadar tol, tempoh konsesi serta pembiayaan yang diperlukan bagi sesebuah syarikat membayar balik pinjaman, penyelenggaraan dan menjalankan operasi. 

Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya berperanan menasihati kementerian kesan daripada penurunan kadar tol itu termasuk jumlah pampasan yang perlu ditanggung kerajaan. 

Katanya, laporan berasingan mengikut agensi itu kemudian akan diserahkan kepada Kabinet untuk kelulusan. 

?Agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula berperanan untuk membuat kajian bagaimana menyuraikan kadar kesesakan di bandar raya yang dijangka bertambah kelak. 

?Kesesakan memang tidak dapat dielakkan dan sukar diatasi, namun Menteri akan melawat Jepun untuk melihat pendekatan sistem trafik di sana dalam masa terdekat ini,? katanya. 

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan berkata pihaknya mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa mengkaji penurunan kadar tol, yang dapat membantu meringan beban rakyat berikutan kos taraf hidup yang semakin meningkat. 

?Satu perkara baik, kadar tol turun dan kami bersedia membantu memberi pandangan sekiranya diminta berbuat demikian. 

?Buat masa ini, kami belum menerima sebarang maklumat mengenai penubuhan jawatankuasa itu secara rasmi,? katanya ketika dihubungi. 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian