RM630 juta pampasan kepada pemilik konsesi LDP | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 22 Mei - Kerajaan membayar pampasan sebanyak RM630.54 juta kepada syarikat konsesi Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dalam tempoh lapan tahun sejak 1999 selepas kerajaan bersetuju untuk membuat penstrukturan semula kadar tol.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, penstrukturan semula tol dilakukan oleh kerajaan bagi mengelakkan beban kenaikan tol di kalangan pengguna LDP.

Tambahnya, kerajaan telah bersetuju untuk menstrukturkan semula kadar tol bagi LDP dan telah meluluskan kadar tol yang lebih rendah berbanding kadar tol yang dipersetujui dalam perjanjian konsesi. 

"Sebagai contoh, kadar tol untuk kenderaan kelas 1 pada tahun 1999 telah diturunkan kepada RM1 berbanding RM1.50 seperti termaktub dalam perjanjian konsesi.

"Pada tahun 2007, kerajaan sekali lagi telah melaksanakan penstrukturan semula kadar tol untuk LDP di mana kadar tol kenderaan Kelas 1 telah diturunkan daripada RM2.10 kepada RM1.60,'' katanya.

Mohd. Zin berkata demikian ketika menjawab soalan Hee Loy Sian (DAP-Petaling Jaya Selatan) hari ini.

Tambahnya, akibat daripada penstrukturan semula kadar tol tersebut, kerajaan perlu membuat bayaran pampasan kepada syarikat konsesi itu.

Dalam pada itu, berhubung penstrukturan semula Lebuhraya Baru Pantai (NPE), beliau berkata, tiada penstrukturan semula kadar tol dibuat terhadap lebuh raya itu kerana tiada kenaikan tol berlaku sejak ia mula beroperasi pada tahun 2004.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia