Penjelasan isu jalan Bandar Mahkota Cheras hari ini | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

SHAH ALAM Kerajaan Selangor akan memberi penjelasan berhubung isu penutupan jalan keluar masuk Bandar Mahkota Cheras setelah tempoh seminggu yang diberikan kepada tiga pihak terbabit untuk mencari jalan penyelesaian berakhir hari ini.Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau telah memberi tempoh seminggu kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), syarikat konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang, Grand Saga Sdn. Bhd. dan syarikat pemaju Narajaya Sdn. Bhd. untuk meneruskan proses rundingan dan sekiranya tiada kata putus, kerajaan negeri akan mengumumkan keputusannya.

''Kita akan isytiharkan keputusan dan pandangan kerajaan Selangor tentang penyambungan jalan raya itu esok (hari ini)," katanya kepada pemberita selepas istiadat perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Pada 7 Mei, polis menyuraikan 500 penduduk sekitar kawasan itu yang mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah pemasangan penghadang konkrit oleh Grand Saga bagi menutup jalan itu.

Pada 12 Mei, Jawatankuasa Bertindak Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras gagal mendapatkan injunksi bagi menghalang Grand Saga daripada membina semula tembok penghadang di persimpangan ke kawasan kediaman mereka di lebuh raya itu.

Mengenai satu perkara lain, Khalid berkata, pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan negeri kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung pemberian 20 meter padu air percuma kepada rakyat Selangor akan dimasukkan ke dalam skim menyatukan pengeluar air, pembersih air dan pengedar air. 

''Kita akan ada penyusunan semula, jadi skim ini akan digubal," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia