Tabung Kemanusiaan Sepang terima RM245,000 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

SEPANG 21 Mei - Tabung Bantuan Kemanusiaan Parlimen Sepang untuk mangsa gempa bumi di Sichuan, China yang dilancarkan baru-baru ini berjaya mengumpul RM245,000 hasil sumbangan beberapa syarikat konsesi lebuh raya di seluruh negara.

PLUS Expressway Bhd. (PLUS) mendahului senarai penderma dengan menyumbangkan RM100,000 diikuti IJM Corporation Berhad yang mendermakan RM50,000 manakala Gamuda Berhad mendermakan RM40,000.

Turut memberi sumbangan ialah Grand Saga Sdn. Bhd. dan Kesturi Sdn. Bhd. masing-masing dengan sumbangan RM20,000 serta Penang Bridge Sdn. Bhd. (PBSB) yang menyumbangkan RM10,000.

Selain itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed yang bersimpati dengan mangsa di Sichuan turut memberikan sumbangan peribadi sebanyak RM5,000.

Semua sumbangan tersebut diserahkan kepada wakil Nanyang Press dan Sin Chew Daily, dua syarikat akhbar yang dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa di kawasan bencana.

Cek sumbangan itu diterima oleh Ketua Biro Nanyang Siangpau Zon Persisiran Pantai Selangor, Tai Siew Siong dan Ketua Biro Sinchew Daily di Seremban, Lee Yee Fo dalam majlis sambutan Hari Guru Zon Salak yang diadakan di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi di sini baru-baru ini.

Pada 12 Mei lepas, gempa bumi bermagnitud 7.8 pada skala Richter menggegarkan wilayah Sichuan di barat daya China dan menyebabkan bangunan-bangunan tinggi di seluruh China bergegar.

Gempa bumi dengan pusat gegaran tertumpu di daerah Wen Chuan itu turut dirasai sejauh ibu negara Thailand, Bangkok dan ibu negara Vietnam, Hanoi.

Angka rasmi mangsa yang terkorban dalam gempa bumi itu mendekati 20,000 orang, namun media China melaporkan angka kematian mungkin meningkat kepada 50,000 orang.

Sementara itu, Mohd. Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, Jawatankuasa Kecemerlangan Pendidikan yang ditubuhkan di kawasan itu telah melahirkan ramai pelajar cemerlang di pelbagai peringkat peperiksaan.

''Saya telah meminta supaya jawatankuasa ini turut mengambil berat tentang kecemerlangan anak-anak Sepang yang kini berada di peringkat universiti. Pastikan kecemerlangan mereka berterusan," katanya.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia