Ambil alih lebuh raya bertol dikaji | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kementerian Kerja Raya sedang menimbangkan cadangan untuk mengambil alih lebuh raya-lebuh raya bertol bagi mengurangkan beban rakyat.

Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) dan Loke Siew Fook (DAP-Rasah) agar kerajaan mengambil alih lebuh raya memerlukan kajian yang terperinci.

"Sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) untuk mengkaji cadangan tersebut telah ditubuhkan untuk melakukan kajian terperinci," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga memberitahu, sehingga Mei tahun ini sebanyak 31 projek bernilai RM2.18 bilion telah diluluskan untuk diagihkan kepada kontraktor Kelas F oleh kontraktor utama.

Katanya, sehingga kini sebanyak 1,015 kontraktor Kelas F terlibat dalam projek- projek mega untuk mereka menimba pengalaman dan mendapatkan bimbingan daripada kontraktor utama.

''Pelaksanaan polisi ini dipantau oleh Bahagian Pembangunan Bumiputera kementerian," katanya.

Mohd. Zin juga memaklumkan Dewan Rakyat bahawa dalam menentukan projek yang akan diteruskan pada kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) oleh kementeriannya, kriteria yang dipilih berdasarkan keupayaan meningkatkan tahap, kemampanan kualiti hidup dan memberi manfaat kepada rakyat.

Jelas beliau, pemilihan projek yang tetap dilaksanakan di Sabah dalam kajian separuh penggal RMK-9 ialah berkaitan dengan melengkapkan rangkaian jalan raya utama, projek membangunkan koridor pembangunan Sabah dan membuka kawasan baru untuk kegiatan pertanian.

''Untuk Sarawak, kriteria yang dipilih ialah melengkapkan jalan raya utama, projek yang menyokong pembangunan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) dan projek-projek jalan ke kawasan jelapang padi di Sibu, Bawang Assan dan Seredeng.," katanya.

Mengenai pembinaan Istana Negara baru, jelasnya, ia membabitkan kos RM649 juta dan status pembinaan pada masa ini telah mencapai tahap 10 peratus serta akan siap pada November 2011.

Mengenai peningkatan kos pembinaan Stadium Kuala Terengganu kepada RM400 juta yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR- Pematang Pauh), beliau menjelaskan, projek itu dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Katanya, kos pembinaan meningkat kepada RM400 juta berikutan tindakan kerajaan negeri membina kemudahan-kemudahan lain untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma).

''Kemudahan tambahan itu termasuk stadium tertutup, pavillion kompleks sukan, naik taraf kolam renang, lapang sasar, peralatan menembak, padang bola, padang hoki, pemasangan lampu hi-mast, naik taraf stadium negeri dan padang lawn bowl," katanya.

Mohd. Zin juga menjelaskan, pada masa ini tidak ada rundingan antara Malaysia dan Brunei untuk membina sebuah jambatan di Sungai Pandaruan, Limbang, Sarawak.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia