ADUN Taman Medan minta NPE selesaikan isu lebuh raya | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

PETALING JAYA 14 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Mohamed Talha meminta pengusaha konsesi Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) supaya mencari jalan penyelesaian kepada beberapa isu yang timbul berkaitan lebuh raya berkenaan.

Antara isu tersebut adalah kadar bayaran tol yang terlalu tinggi, keselamatan para penduduk yang tidak terjamin, kerosakan jalan raya, tiada pembinaan laluan alternatif dan juga laluan motosikal.

Haniza memberitahu, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan pengurusan NPE pagi ini untuk berbincang dan menjalinkan kerjasama bagi menyelesaikan isu tersebut.

''Saya melihat perbincangan hari ini sebagai satu yang positif kerana kedua-dua pihak berbincang secara terbuka dan berusaha mencari jalan terbaik untuk manfaat bersama.

''Perbincangan ini diadakan sebagai mewakili penduduk di sini yang sering membuat aduan kepada kami mengenai masalah-masalah yang mereka hadapi,'' katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Haniza lagi, antara permohonan yang dibuat adalah meminta pengurusan NPE supaya mengkaji semula kadar bayaran tol agar dapat dikurangkan kerana ia membebankan para penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Taman Medan ini.

Beliau merasakan kadar yang dikenakan itu kurang sesuai kerana tugas NPE hanyalah menaik taraf jalan tersebut yang asalnya dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selain jarak yang diselenggara mereka kurang adalah dari 20 kilometer.

Selain itu, beliau juga meminta NPE supaya mewujudkan laluan alternatif demi menjaga keselamatan penduduk kerana banyak kenderaan yang mahu mengelak daripada membayar tol, menggunakan jalan di kawasan perumahan dan persekolahan terutama di waktu puncak.

''Kami juga memohon pihak pengurusan NPE supaya dapat membina tembok penghadang di sepanjang lebuh raya tersebut bagi mengelakkan kenderaan yang tidak bertanggungjawab menyeberangi laluan itu yang akhirnya boleh menyebabkan kemalangan,'' jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mahu pihak NPE segera memperbaiki jalan-jalan yang rosak di sepanjang lebuh raya tersebut kerana ia amat merbahaya kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

Sehubungan itu katanya, pertemuan yang pertama kali diadakan hari ini hanya untuk proses perbincangan manakala keputusan mengenainya akan dibuat pada pertemuan kedua yang akan diadakan pada 16 Mei ini.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia