Gagal capai kata sepakat | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

SHAH ALAM 13 Mei - Pertemuan antara kerajaan negeri dengan pemegang konsesi Lebuh Raya Cheras-Kajang, Grand Saga Sdn. Bhd., Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pemaju Bandar Mahkota Cheras, Narajaya Sdn. Bhd. hari ini, gagal mencapai kata sepakat mengenai tindakan penduduk memecahkan tembok penghadang memasuki lebuh raya itu.

Ekoran itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberikan tempoh seminggu kepada semua pihak terlibat untuk mencari penyelesaian masalah itu dengan cara aman.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Abdul Khalid juga mengarahkan penyelesaian itu perlu memberi fokus untuk memberikan hak laluan kepada penduduk Bandar Mahkota Cheras.

"Dalam masa seminggu ini, Tan Sri Khalid minta semua pihak bertenang, tidak melakukan apa-apa di luar undang-undang dan memastikan keselamatan penduduk dan semua pihak terjaga," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat kira-kira sejam itu di Pejabat Menteri Besar di sini yang berakhir tanpa sebarang keputusan.

Jawatankuasa Bertindak Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras, semalam gagal dalam usahanya untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang Grand Saga daripada membina semula tembok penghadang di persimpangan ke kawasan kediaman mereka di lebuh raya itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee dalam keputusannya menolak permohonan injunksi sebelah pihak oleh pengerusi jawatankuasa itu, Tan Boon Wah yang difailkan pada Jumaat lepas. 

Grand Saga dan penduduk Bandar Mahkota Cheras terlibat dengan pertelagahan apabila Jawatankuasa Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras memecahkan tembok konkrit di persimpangan jalan Bandar Mahkota Cheras.

Tembok itu dibina bagi menghalang kemasukan terus trafik dari Bandar Mahkota Cheras ke Persimpangan Bandar Tun Hussein Onn, Lebuh Raya Cheras-Kajang, sekali gus mengelak daripada membayar tol di Plaza Tol Batu 11, Cheras.

Selepas tembok asal dipecahkan pada 21 April lalu, Grand Saga telah membinanya semula sebanyak dua kali, namun kedua-duanya dipecahkan semula, dipercayai dilakukan oleh penduduk setempat.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, rundingan akan diteruskan dalam masa seminggu ini dan sepanjang tempoh itu, tidak ada sebarang pengumuman dibuat.

"Selepas seminggu kalau tidak mencapai kata putus, Menteri Besar akan membuat keputusan tetapi beliau memberi peluang itu memandangkan semua pihak ada kepentingan dalam isu ini, termasuk Grand Saga yang mempertahankan hak mereka," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia