Permohonan penduduk ditolak | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 12 Mei - Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan penduduk Bandar Mahkota Cheras bagi mendapatkan perintah injunksi menghalang pemegang konsesi Lebuh Raya CherasKajang, Grand Saga Sdn. Bhd. (Grand Saga) membina semula tembok penghadang di persimpangan jalan Bandar Mahkota Cheras.

Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rafee menolak permohonan ex-parte (sebelah pihak) itu tanpa kos selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak di kamar beliau hari ini.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching adalah antara peguam yang mewakili plaintif manakala peguam Logan Sabapathy mengetuai barisan peguam mewakili Grand Saga selaku defendan.

Nie Ching memberitahu wartawan di luar mahkamah, pihaknya akan mendapatkan arahan lanjut daripada plaintif sama ada akan mengemukakan rayuan atau sebaliknya atas keputusan tersebut.

Permohonan injunksi itu terkandung dalam saman yang difailkan pada Jumaat lalu oleh Pengerusi Jawatankuasa Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras, Tan Boon Wah selaku plaintif terhadap Grand Saga.

Grand Saga dan penduduk-penduduk Bandar Mahkota Cheras terlibat dengan pertelagahan apabila Jawatankuasa Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras telah memecahkan tembok konkrit yang dibina oleh Grand Saga di persimpangan jalan Bandar Mahkota Cheras.

Tembok itu dibina bagi menghalang kemasukan terus trafik dari Bandar Mahkota Cheras ke Persimpangan Bandar Tun Hussein Onn, Lebuh Raya Cheras-Kajang, sekali gus mengelak daripada membayar tol di Plaza Tol Batu 11, Cheras.

Selepas tembok asal dipecahkan pada 21 April lalu, Grand Saga telah membinanya semula sebanyak dua kali, namun kedua-duanya dipecahkan semula, dipercayai dilakukan oleh penduduk setempat.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Hal Ehwal Korporat Grand Saga, Zainal Abidin Ali berkata, dengan keputusan mahkamah itu, pihaknya akan membina semula tembok penghadang yang telah dipecahkan itu.

Namun, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, beliau berkata, bukan isu tembok yang menjadi perkara utama tetapi hak akses terhadap persimpangan yang menjadi pertikaian itu.

"Grand Saga percaya tidak ada lagi kekeliruan berhubung hak tersebut seperti yang termaktub di bawah Akta Jalan Persekutuan 1989 dan Perintah Jalan Persekutuan (Lebuh raya Cheras-Kajang) 1998," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kesal dengan apa yang telah berlaku khususnya kepada orang awam berikutan tindakan pihak tertentu memecahkan tembok penghadang itu.

"Seharusnya rundingan dengan pihak-pihak yang terlibat perlu dilakukan sebelum sebarang tindakan untuk mengalihkan tembok itu diambil," katanya.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia