Jangan bertindak sendiri | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

SHAH ALAM 9 Mei - Kerajaan negeri Selangor meminta penduduk Bandar Mahkota Cheras supaya bersabar dan tidak mengambil tindakan sendiri dalam isu pembukaan persimpangan kawasan perumahan itu dengan Lebuh raya Cheras-Kajang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ini kerana langkah itu dikhuatiri akan merumitkan lagi masalah yang sedia wujud dan menyukarkan proses penyelesaian.

Beliau berkata, bagi membantu menyelesaikan isu itu, kerajaan negeri membawa persatuan penduduk Bandar Mahkota Cheras untuk berbincang dengan kerajaan Persekutuan dan pemegang konsesi lebuh raya itu, Grand Saga Sdn. Bhd. minggu depan.

"Perbincangan itu dibuat kerana kerajaan negeri mahu perkara itu diselesaikan mengikut proses perundangan supaya tindakan sewajarnya dapat dilakukan. 

"Kerajaan negeri tidak boleh selesaikan masalah ini jika kita hanya berunding dengan penduduk sahaja.

"Sebaliknya, kita nak bincang dengan ketiga-tiga pihak (kerajaan Persekutuan, persatuan penduduk dan Grand Saga) supaya satu jalan penyelesaian dapat dicari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan kira-kira 40 orang penduduk Bandar Mahkota Cheras yang mengemukakan memorandum bagi meminta kerajaan negeri menyelesaikan pertikaian berhubung persimpangan itu dengan segera.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras, Tan Boon Wah kepada Abdul Khalid di hadapan pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini. 

Abdul Khalid berkata, beliau akan mendapatkan pandangan daripada Penasihat Undang-undang negeri terlebih dahulu sebelum perbincangan lanjut dengan ketiga-tiga pihak yang terlibat diadakan.

Isu persimpangan yang merupakan jalan keluar masuk utama ke kawasan perumahan bermula apabila penduduk memecahkan tembok penghadang yang dibina oleh Grand Saga pada 21 April lalu.

Penduduk kemudian berkawal di kawasan itu bagi menghalang Grand Saga daripada membina tembok itu semula.

Bagaimanapun, pada Rabu lalu, pengurusan lebuh raya itu membina semula tembok itu selepas disahkan mereka mempunyai hak untuk berbuat begitu.

Namun, penduduk memecahkan sekali lagi tembok itu tidak sampai lima jam selepas itu menyebabkan Grand Saga terpaksa mendapatkan bantuan polis untuk membinanya semula semalam.

Tiga lelaki turut ditahan kerana cuba menghalang petugas Grand Saga daripada membina semula tembok itu, selain polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi meleraikan kekecohan.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia