Berbincang selesaikan konflik penghadang | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KAJANG - Kerajaan negeri berusaha menyelesaikan isu Jalan Bandar Mahkota-Cheras tetapi mahu Menteri Kerja Raya campur tangan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Beliau berkata sepucuk surat sudah dihantar kepada Menterinya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed agar laluan yang menjadi pertikaian sejak 2006 itu dapat dibuka secepat mungkin kerana melibatkan kepentingan orang ramai. 

Katanya, syarikat konsesi lebuh raya Cheras-Kajang, Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga) dan pemaju perumahan, Narajaya Sdn Bhd (Narajaya) sudah diminta untuk membincangkan isu berkenaan dengan sebaik-baiknya kerana pertikaian tersebut tidak sepatutnya membebankan orang ramai. 

"Bagaimanapun keputusannya, jalan berkenaan perlu dibuka kerana kita tidak mahu berlaku lagi pergaduhan. Tolak batu ke sana ke sini, duit boleh dicari tapi nyawa tidak boleh dibeli. Kita juga berharap Grand Saga tidak menutup jalan ini dengan batu penghadang konkrit kerana orang ramai perlu dibenarkan menggunakan laluan ini sehingga pertikaian ini selesai," katanya kepada kira-kira 1,000 orang penduduk yang berkumpul di kawasan itu, semalam. 

Kelmarin, penduduk kawasan sekitar yang tidak berpuas hati dengan tindakan Grand Saga membina semula tembok yang menghalang jalan pintas itu bertindak merobohkannya sehingga menimbulkan kekecohan dan menyebabkan beberapa orang cedera.

"Saya juga telah minta Majlis Perbandaran Kajang membersihkan kawasan ini dalam masa dua minggu supaya dapat memberi keselesaan kepada pengguna. Saya akan datang meninjau kawasan ini seminggu lagi bagi memastikan mereka menjalankan tugas yang diarahkan," katanya. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah. 

Dua hari lalu, pergaduhan tercetus di kawasan berkenaan apabila sekumpulan lelaki bertindak menyerang penduduk yang berkumpul di situ hingga menyebabkan 10 penduduk cedera termasuk seorang parah. Turut menjadi mangsa dua orang wartawan. 

Sebelum ini penduduk kawasan itu sudah dua kali merobohkan penghadang dibina Grand Saga yang bertujuan menyekat jalan pintas digunakan penduduk bagi mengelak bayaran tol. 

Pada 7 Mei, polis menyuraikan 500 penduduk sekitar kawasan itu yang mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah pemasangan penghadang konkrit oleh Grand Saga bagi menutup jalan itu. 

Manakala pada 12 Mei, Jawatankuasa Bertindak Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras gagal mendapatkan injunksi bagi menghalang Grand Saga daripada membina semula tembok penghadang di persimpangan ke kawasan kediaman mereka di lebuh raya itu. 

Sementara itu, tinjauan di kawasan berkenaan mendapati laluan berkenaan dapat dilalui penduduk walaupun batu penghadang yang dipasang Grand Saga tidak dapat dialihkan sepenuhnya oleh penduduk. 

Menurut Abdul Khalid, Narajaya telah berjanji kepada penduduk di situ untuk menyediakan jalan pintas ke lebuh raya Cheras-Kajang sungguhpun ianya tiada dalam pelan pembangunannya. 

"Saya dimaklumkan jalan ini tidak ada dalam pelan pembangunan tetapi syarikat pemaju dah janji pada penduduk jalan ini ada," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian