Selangor jamin buka semula jalan masuk dengan syarat | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

SHAH ALAM: Kerajaan negeri memberi jaminan akan membuka semula jalan masuk ke kawasan perumahan Bandar Mahkota Cheras, tetapi ia hanya akan dilakukan selepas mendapat kebenaran Kementerian Kerja Raya.Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kuasa kerajaan negeri terbatas kerana persempadanan lebuh raya itu menyebabkan sebahagian jalan itu terletak di bawah kuasa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).Katanya, kontroversi itu dapat diselesaikan segera jika Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed turun padang untuk meninjau masalah dan memahami isu yang dihadapi penduduk kawasan perumahan itu. "Kita akan menghantar surat kepada Kementerian Kerja Raya esok (hari ini) dan berharap kementerian dapat membuat keputusan membuka semula jalan ini."Tetapi kita sudah membuat keputusan penghadang jalan berkenaan dialih dan penduduk boleh guna jalan ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, semalam.Abdul Khalid berkata, kontroversi itu sebenarnya membabitkan dua pihak, iaitu syarikat konsesi lebuh raya Cheras-Kajang, Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga) dan pemaju perumahan, Narajaya Sdn Bhd (Narajaya).Katanya, pertikaian antara dua pihak itu sudah dibawa ke Mahkamah Tinggi, tetapi apa saja keputusan, jalan itu tetap akan dibuka."Jika Narajaya menang, jalan ini akan terus dibuka dan jika kalah, Narajaya kena bayar pampasan kepada Grand Saga dan jalan juga dibuka. Pertikaian tidak ada kena mengena dengan rakyat," katanya.Ditanya mengapa kerajaan negeri tidak bertindak cepat untuk menyelesaikan kontroversi itu, Abdul Khalid berkata, pendirian kerajaan negeri ialah jalan itu mesti dibuka, tetapi perlu mendapat kebenaran Kerajaan Pusat kerana ia turut membabitkan jalan persekutuan."Menteri Kerja Raya mempunyai kuasa untuk membuat keputusan. Cara tertib ialah meminta menteri membuka jalan ini," katanya sambil meminta penduduk bersabar.Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) berharap semua pihak bertanggungjawab dalam kekecohan yang berlaku di Lebuh Raya Cheras-kajang, Grand Saga Sdn Bhd segera berunding mencari penyelesaian bagi mengelakkan kejadian itu berulang.Setiausaha Agung NUJM, Hong Boon How, berkata Majlis Eksekutif Tertinggi NUJM juga kesal kerana kejadian itu menyebabkan jurugambar cedera dipukul. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian