SUBANG 31 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan Kabinet mengarahkan laluan Bandar Mahkota Cheras ke persimpangan Bandar Tun Hussein Onn di Lebuh Raya Cheras-Kajang dibuka semula, tidak boleh dilihat sebagai kerajaan mengalah atau tunduk pada tekanan.Sebaliknya, tegas Timbalan Perdana Menteri, langkah itu yang diputuskan Kabinet semalam ekoran penutupannya yang mencetuskan kontroversi sejak dua tahun lalu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kehendak rakyat.Beliau bagaimanapun mengingatkan pihak yang terlibat agar tidak menjadikan keputusan kerajaan itu sebagai peluang untuk melakukan sesuatu yang melanggar peraturan."Ini bukan bermakna kita tunduk. Tidak, tetapi kerajaan sememangnya prihatin dengan apa yang dikehendaki rakyat dan kita tidak boleh menganggap ini sebagai kita mengalah atau tunduk kepada tekanan mana-mana pihak."Kalau ada pihak buat sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang negara, tidak semestinya kerajaan akan memihak kepada mereka," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perbarisan Jubli Emas sempena Ulang Tahun Ke-50 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dihadiri Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini hari ini.KesempatanSemalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed mengumumkan langkah Kabinet untuk membuka laluan itu sehingga mahkamah membuat keputusan berhubung pertikaian penutupan laluan berkenaan antara pemegang konsesi lebuh raya, Grand Saga Sdn. Bhd. (Grand Saga) dan pemaju Bandar Mahkota Cheras, Narajaya Sdn. Bhd. (Narajaya).Dengan keputusan itu, penduduk Bandar Mahkota Cheras kini boleh menggunakan laluan tersebut untuk ke Lebuh Raya Cheras-Kajang berbanding sebelum ini mereka terpaksa melalui Bandar Sungai Long dan membayar tol di Plaza Tol Batu 11.Kontroversi itu bermula setelah laluan itu disekat dengan tembok penghadang oleh Grand Saga pada Januari 2006 bagi menghalang kemasukan terus trafik dari Bandar Mahkota Cheras ke Persimpangan Bandar Tun Hussein Onn yang mahu mengelak daripada membayar tol di Plaza Tol Batu 11, Cheras.Mengenai tindakan parti-parti pembangkang yang sebelum ini mengambil kesempatan dengan mempolitikkan isu penutupan laluan itu, Najib berkata, kerajaan menyedari perkara itu dan pembangkang akan terus bersikap sedemikian"Itu memang kerja pembangkang, kita mesti faham mereka akan terus lakukan perkara ini, tetapi kerajaan mempertimbangkan apa yang kita fikirkan sebaik-baiknya untuk rakyat," jelasnya.