KAJANG: "Terima kasih Datuk...terima kasih Datuk' laungan itu bergema di persimpangan Bandar Mahkota Cheras di sini, semalam selepas Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed mengumumkan laluan kontroversi terbabit dibuka berkuat kuasa serta-merta.Pengumuman itu yang dibuat kira-kira jam 3.30 petang, sekali gus membangkitkan kegirangan lebih 100 penduduk setempat yang mula berkumpul di persimpangan jalan berkenaan selepas solat Jumaat.Meskipun ketika itu keadaan cuaca tidak begitu baik berikutan hujan renyai, penduduk nampaknya setia menunggu dan tidak berganjak sehingga menteri selesai mengumumkan berita gembira yang dinantikan sekian lama.Dalam pengumumannya, Mohd Zin menyatakan laluan persimpangan ke Bandar Mahkota Cheras akan dibuka, malah syarikat konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang, Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga) bersetuju tidak akan membina tembok penghadang. "Selepas berbincang dan memikirkan demi kebaikan semua pihak, saya dengan ini mengumumkan laluan ini dibuka dan akan beroperasi seperti biasa buat sementara waktu sehingga mahkamah membuat keputusan kelak."Malah, Grand Saga juga bersetuju tidak akan membina tembok penghadang serta memberi jaminan tidak mengenakan sebarang tindakan ke atas pihak ketiga akibat kerugian," katanya di persimpangan laluan ke Bandar Mahkota Cheras di sini, semalam.Beliau turut menjelaskan keputusan pembukaan semula laluan itu sudah mendapat persetujuan Kabinet yang menganggapnya penting untuk keselesaan penduduk dan pihak berkaitan."Justeru, saya nasihatkan semua pihak termasuk penduduk supaya mematuhi perundangan dan Perlembagaan serta sama-sama menjaga laluan ini daripada sebarang kerosakan. Mana-mana yang rosak ketika ini kita akan baikinya," katanya sambil disambut teriakan gembira penduduk.Sementara itu, jurucakap Taliworks Corporation Berhad iaitu syarikat pemegang 55 peratus saham Grand Saga, berkata pihaknya menerima keputusan itu dan menganggapnya keputusan paling baik dibuat pihak kementerian."Saya kira ini satu keputusan yang adil dan baik untuk semua pihak, malah pengumuman yang dibuat sendiri menteri (Mohd Zin) di sini (laluan persimpangan ke Bandar Mahkota Cheras) berjaya menyelesaikan kekecohan serta pertelingkahan," katanya.