Kabinet arah buka laluan | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

CHERAS: Kabinet semalam mengarahkan Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga), syarikat konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang, membuka laluan menghubungkan lebuh raya itu ke Bandar Mahkota Cheras, di sini, berkuat kuasa serta-merta.Keputusan itu diumumkan Menteri Kerjaraya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed, ketika melawat lokasi terbabit pada kira-kira jam 3.30 petang dan disambut sorakan gembira beratus-ratus penduduk yang menanti berita gembira berkenaan. Mohd Zin berkata, laluan itu perlu dibuka sehingga keputusan mengenai pertikaian antara Grand Saga dan Narajaya Sdn Bhd (Narajaya) yang memajukan projek perumahan Bandar Mahkota Cheras, diputuskan mahkamah."Kabinet bersetuju dengan cadangan Kementerian Kerja Raya supaya laluan ini dibuka kepada orang awam. Dengan pembukaan jalan ini, kita harap isu berhubung penutupan dan semua masalah rakyat di kawasan ini selesai."Saya berjanji akan berusaha menyelesaikan masalah ini secara kekal tetapi ini memerlukan masa," katanya yang mengumumkan perkara itu menerusi alat pembesar suara sambil menunjukkan nota keputusan kementeriannya yang dipersetujui Kabinet.Hadir sama, Pengerusi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Syed Jamal Syed Jaafar; Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Mohamad Razali Othman; Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat; Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching.Pembukaan itu membolehkan penduduk Bandar Mahkota Cheras menggunakan laluan berkenaan ke lebuh raya berkenaan, berbanding sebelum ini mereka terpaksa melalui Bandar Sungai Long dan membayar tol di Plaza Tol Batu 11.Berdasarkan kenyataan Kementerian Kerja Raya, Narajaya mendapat kelulusan membina jalan susur ke Bandar Mahkota Cheras untuk dibangunkan tetapi pemaju itu dikatakan gagal mematuhi syarat hingga memaksa kerajaan mengadakan beberapa siri perbincangan membabitkan dua syarikat itu. 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian