KUALA LUMPUR 7 Julai - Kementerian Kerja Raya akan mewujudkan terma baru dengan syarikat-syarikat konsesi tol berkaitan perjanjian untuk memansuhkan atau mengurangkan kadar tol di seluruh negara selepas selesai membuat kajian.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamad (gambar) berkata, beliau telah meminta pegawai undang-undang di bawah kementeriannya supaya melihat semula terma-terma sedia ada bagi membuat penilaian sebelum diwujudkan terma perjanjian yang baru.
Menurutnya, kementerian juga telah menubuhkan satu Jawatankuasa Kajian Kadar Tol pada bulan lalu untuk mengumpul data dan mendapatkan maklumat daripada syarikat-syarikat konsesi terbabit serta pengguna lebuh raya.
''Jawatankuasa ini akan membuat kajian dengan mengambil kira beban para syarikat konsesi, beban rakyat serta taraf perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat-syarikat konsesi tersebut dan laporan mingguan akan diberikan kepada saya.
''Selain itu, rundingan bersama syarikat-syarikat konsesi akan dibuat untuk memastikan semua pihak berpuas hati dengan keputusan yang bakal dibuat nanti,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan MCA Selangor di Kompleks Kerja Raya di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Tang See Hang.
Pertemuan tersebut diadakan bagi menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kerja Raya berhubung permohonan mengurang atau menghapuskan bayaran cukai jalan serta tol di semua lebuh raya di negeri itu.
Permohonan berkenaan dibuat untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat berikutan kenaikan harga minyak petrol baru-baru ini.
Sementara itu, Mohd. Zin berkata, keputusan pemansuhan atau pengurangan kadar tol itu hanya akan diketahui dua bulan lagi.
''Selepas dua bulan nanti saya akan menghantar laporan berkenaan kajian ini kepada Kabinet dan terpulang kepada Kabinet untuk membuat keputusan,'' jelasnya.