11 lagi bahan binaan disenarai | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam mengumumkan 11 item baru bahan binaan yang terkandung dalam pelaksanaan syarat Pengiraan Perubahan Harga (VOP) dalam kontrak kerja yang diberikan kepada kontraktor bagi meringankan beban mereka berikutan kenaikan kos bahan binaan. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed (gambar), berkata 11 item baru itu ialah besi bulat, bitumen, bahan api, konkrit, pasir, batu baur, besi penghadang, jaring pengukuh, diesel, paip air dan paip pembentung. 

"Dalam pengiraan VOP, bahan binaan yang sebelum ini hanya merangkumi 15 item termasuk besi keluli dan simen. 

"Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan syarat VOP itu dalam kontrak kerja yang diberikan kepada kontraktor bagi meringankan beban mereka berikutan kenaikan kos bahan binaan. 

"Peningkatan kos bahan binaan itu dibangkitkan lebih daripada 800 kontraktor dalam pertemuan dengan saya pada 4 Julai lalu," katanya pada sidang media mesyuarat pascakementerian itu di pejabatnya di sini, semalam. 

Mohd Zin berkata, kementerian sudah meneliti dan mengkaji secara terperinci setiap masalah, rungutan dan permintaan kontraktor dan seterusnya dibentangkan kepada Kementerian Kewangan supaya satu tindakan berkesan diambil bagi meringankan beban kontraktor terbabit. 

"Senarai harga VOP itu akan dikeluarkan Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat," katanya. 

Sehubungan itu, kementerian juga memutuskan bagi projek konvensional, kerajaan akan membayar VOP besi keluli untuk projek selepas 1 Januari 2008. 

Sebelum ini, bagi projek reka dan bina, tarikh kuat kuasa VOP besi keluli mengikut surat pekeliling adalah ditetapkan bermula 12 Mei 2008. 

"Namun kerajaan sudah menimbang semula supaya kuat kuasa dibelakangkan ke tarikh 1 Januari 2008 dengan perkongsian risiko 50:50 dikekalkan," katanya. 

Mohd Zin berkata, selain VOP besi keluli, bagi kerja-kerja mekanikal dan eletrikal secara konvensional diperluaskan VOP bagi bahan seperti kuprum dan besi juga akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2008. 

Selain itu, bagi reka dan bina, `VOP luar biasa' untuk kerja mekanikal dan elektrikal hanya diberikan kepada projek yang dalam pelaksanaan pada 1 Januari 2008 dan projek baru yang sudah dikeluarkan Surat Setuju Terima (LOA) di mana tarikh tutup tender atau harga muktamad dipersetujui pada peringkat Jawatankuasa Rundingan Harga Agensi sebelum 4 Jun 2008. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian