250,000 jurutera diperlukan | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

SHAH ALAM 23 Julai - Malaysia memerlukan 250,000 jurutera profesional menjelang tahun 2020 bagi memastikan keperluan dan pembangunan negara dapat diteruskan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, angka itu dapat memastikan usaha kerajaan mencapai status negara maju bakal terlaksana.

''Jika jumlah itu berjaya dicapai, ia akan menjadikan nisbah seorang jurutera bagi 100 orang akan terlaksana dan nisbah tersebut merupakan nisbah untuk negara maju.

''Ini merupakan satu usaha yang akan dijalankan oleh kerajaan melalui satu pelaburan yang besar kepada pembangunan modal insan," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Alumni Engineering Talk Show di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.Sehubungan itu, kata Mohd. Zain, kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 jurutera setiap tahun untuk mencapai sasaran 250,000.

Ujar beliau, UiTM sebagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mengeluarkan kira-kira 500 jurutera setiap tahun dapat membantu dalam merealisasikan hasrat itu.

''Selepas mendapat ijazah, mereka seharusnya meneruskan kerjaya untuk menjadi jurutera profesional yang boleh dicapai sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga hingga lima tahun," kata beliau.

Alumni Engineering Talk Show yang dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan UiTM itu bertujuan merapatkan hubungan serta berkongsi pengalaman sesama mereka yang kini merupakan pemain dalam industri terbabit.

Mohd. Zin merupakan salah seorang alumni UiTM dalam bidang Kejuruteraan Awam.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia