KUALA LUMPUR 21 Julai - Kementerian Kerja Raya berusaha melahirkan profesional muda berkualiti yang mampu bersaing untuk 'dieksport' memajukan projek-projek infrastuktur di seluruh dunia.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed berkata, Perbadanan Pembangunan Perkhidmatan Profesional (PSDC) di bawah kementerian itu mempunyai misi untuk membina upaya golongan tersebut.
''PSDC akan merangkaikan kepakaran dan kemahiran yang ada pada saudara-saudari untuk dieksport,'' katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan forum 'Globalisasi Profesional Muda Malaysia - Perspektif Masa Depan', di sini hari ini. Forum itu ialah kesinambungan kepada Majlis Dialog Profesional Muda Bersama Menteri Kerja Raya April lalu.
Sehubungan itu, menurut Zin, golongan tersebut harus membuka minda bagi merebut peluang yang sedia ada dan membuat pengubahsuaian serta penambahbaikan untuk bersaing.
''Setiap dari kita kena berubah. Berubah sikap dan cara berkerja, berubah pendapat dan pendirian, berubah metodologi dan pendekatan .''Ini kerana, kita dapat bersaing di pasaran terbuka tanpa perlu bergantung kepada sesiapa terutama bantuan kerajaan,'' katanya.
Turut hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Abdul Munit Kasmin, Presiden Lembaga Jurutera Malaysia, Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Judin Abdul Karim, Presiden Lembaga Arkitek Malaysia, Datuk Ar. Nur Haizi Abdul Hai dan Presiden Lembaga Juruukur Bahan Malaysia, Datuk Abdullah Manaf Hashim.
Tambah Zin, generasi profesional muda mempunyai peranan yang cukup besar dalam pembangunan infrastruktur negara.
''Ini kerana, golongan ini yang bakal menentukan sama ada negara mampu mencapai pembangunan mapan pada masa depan atau berhadapan dengan cabaran globalisasi,'' ujarnya.
Menurut beliau lagi, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan harga bahan binaan tidak menjejaskan sektor pembinaan dan pembangunan negara.
''Saya berharap golongan profesional akan memberi sumbangan yang tidak belah bahagi untuk menangani kesan ekonomi global ini,'' jelasnya.