Percubaan sistem baru dilaksana minggu ketiga November
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan sistem percubaan aliran tol tanpa sekatan (MFFL) pada minggu ketiga November depan bagi mengenal pasti operasi dan kelemahannya sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamad, berkata sebagai langkah percubaan, sistem itu akan diperkenalkan di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) di Sungai Penchala dengan memilih 100 orang pengguna bagi mengkaji keberkesanan sistem itu dari sudut keselamatan dan kelancarannya.
"Ia adalah sistem yang berlainan daripada Smart Tag kerana ia menggunakan gelombang mikro dengan keupayaan mengesan kenderaan pada tahap kelajuan 180 kilometer sejam.
"Kita akan pasang di laluan LDP Sungai Penchala sebagai percubaan dengan pembiayaan dan penyelenggaraan oleh Syarikat Mitsubishi Group dari Jepun.
"Kenderaan yang menggunakan sistem ini tidak perlu berhenti dan ini menambah kelancaran di laluan bertol," katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Profesional Muda Malaysia "Perspektif Masa Depan" di Pusat Konvensyen Sime Darby, semalam.
Mohd Zin berkata, berbanding sistem Smart Tag yang hanya boleh menampung sebanyak 700 hingga 800 pengguna dalam satu jam, sistem MFFL boleh menampung sehingga 1,500 kenderaan dalam tempoh yang sama.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai kos dan bayaran yang bakal dikenakan kepada pengguna berikutan sistem itu kini pada peringkat percubaan dan perlu kepada penelitian sebelum dilaksanakan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Zin menegaskan golongan profesional muda negara adalah penentu sama ada negara mampu mencapai pembangunan mapan pada masa depan selain menjadi tenaga penting kepada negara untuk berhadapan cabaran global.
Forum dianjurkan Professional Services Development Corporation (PSDC) bertujuan mengumpul golongan profesional muda Malaysia untuk berbincang mengenai pelbagai isu berkaitan pembangunan infrastruktur negara pada masa depan.