Lebuhraya Kajang-Seremban siap 9 Januari 2009 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR - Sehingga 30 April 2008, kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) telah siap 50 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 9 Januari 2009.

Menurut Menteri Kerja Raya , Datuk Ir Mohd Zin Mohamed, pemaju dan syarikat konsesi sering menghadapi masalah peningkatan kos berikutan kenaikan harga bahan binaan dan beberapa isu pengambilan tanah.

"Tetapi ia tidak menjejaskan kelancaran projek pembinaan lebuh raya ini," katanya ketika menjawab soalan Dr Che Rosli Che Mat (Pas-Hulu Langat) yang ingin tahu status pembinaan LEKAS dan masalah dihadapi pemaju.

Mohd Zin menjelaskan, bahagian lebuh raya itu yang siap sepenuhnya adalah Pekej 1A iaitu Kajang Bypass-Persimpangan Bertingkat Kajang Selatan manakala Pakej 1B iaitu Persimpangan Bertingkat Kajang Selatan-Persimpangan Bertingkat Pajam sepanjang 16.76km dijangka dibuka pada akhir bulan depan.

"Bagi Pakej 2A iaitu Persimpangan Bertingkat Pajam hingga Persimpangan Bertingkat Mantin kini hanya tinggal kurang enam peratus pembinaan manakala Pakej 2B (Persimpangan Bertingkat Mantin-Persimpangan Bertingkat Sentul) baru 0.2 pertus siap," ujarnya.

Menurutnya, untuk Pakej 3 dan terakhir iaitu Persimpangan bertingkat Sentul hingga Persimpangan Bertingkat Paroi pula sudah 39.91 peratus siap.

Selain itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) mengenai punca kelewatan LEKAS disiapkan, Mohd Zin berkata, kOnsesi asal perjanjian itu dibuat pada 10 Julai 1997, tetapi tergendala berikutan kegawatan ekonomi ketika itu.

Beliau berkata, perjanjian baru kemudian ditandatangani pada 2006 dan sehingga ini berjalan baik.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian