Dasar pengagihan 10 peratus majukan kontraktor Kelas F | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

INDUSTRI binaan cukup penting dalam pembangunan sesebuah negara membangun. Bukan saja pembangunan fizikal industri pembinaan itu yang diberi fokus oleh Kementerian Kerjaraya, malah pembangunan peserta industri binaan (modal insan) turut diberi perhatian dalam usaha mengejar cabaran Wawasan 2020. 

Isu pemberian kontrak Kelas F, misalnya hangat diperkatakan sehingga wujud beberapa andaian mahupun spekulasi negatif terhadap kementerian. Justeru, kementerian sudah merangka beberapa program dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian kerajaan. 

Salah satu program pembangunan itu adalah program pembangunan kontraktor Kelas F. Untuk itu, Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed (gambar) memperkenalkan dasar pengagihan 10 peratus daripada projek yang bernilai RM10 juta, untuk kontraktor Kelas F. Sehingga 14 Ogos lalu, bilangan kontraktor Kelas F ialah 31,847 orang. 

Dasar ini sedikit sebanyak membuka ruang kepada kontraktor Kelas F untuk menyertai projek yang dilaksanakan di kawasan setempat oleh kontraktor utama. Melalui pembabitan itu, diharapkan kontraktor Kelas F dapat menimba pengalaman dan kemahiran melalui bimbingan diberikan kontraktor utama yang sememangnya memiliki sistem pengurusan kualiti di dalam pelaksanaan sesuatu projek. 

Dengan cara ini, kualiti kerja kontraktor Kelas F dapat dipertingkatkan ketika negara sedang mengharungi era globalisasi. 

Mulai 26 Mac lalu, Mohd Zin mengarahkan dasar pengagihan 10 peratus daripada nilai projek diagihkan kepada kontraktor Kelas F, dilaksanakan segera di Kementerian Kerjaraya. Pelaksanaan dasar ini diperkemaskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui pekeliling Ketua Pengarah Kerja Raya yang dikeluarkan pada 16 April lalu sebagai garis panduan tata cara pelaksanaan itu. 

Melalui pelaksanaan dasar ini juga dijangkakan dapat meningkatkan penyertaan Bumiputera di dalam industri binaan yang pada ketika ini pencapaiannya ialah masih rendah. 

Walaupun secara umumnya semua sudah maklum apabila sesuatu projek itu dianugerahkan kepada kontraktor kelas A, B dan C, ada skop kerja kecil tertentu yang diberikan kepada kontraktor Kelas F atau gred 1(CIDB). 

Tetapi permasalahan selalu timbul ialah kontraktor kelas kecil ini sering kali tidak dibayar oleh kontraktor utama kerana tiada perjanjian secara bertulis yang dibuat di antara mereka. Ini menyebabkan kontraktor kelas kecil tidak mendapat bayaran sepatutnya dan program pembangunan mereka terganggu. 

Dengan pelaksanaan dasar ini, kontraktor kelas kecil akan mendapat jaminan pembayaran daripada kerajaan melalui ?Deed of Assignment? yang ditandatangani di antara kontraktor utama dan kontraktor Kelas F. Dokumen itu juga dimasukkan ke dalam garis panduan tata cara pelaksanaan dasar ini yang akan dilaksanakan oleh kontraktor utama. 

Bagi membolehkan seramai mungkin kontraktor Kelas F mendapat peluang menyertai program ini, senarai kontraktor Kelas F yang akan dilantik oleh kontraktor utama perlu diperoleh daripada Bahagian Pembangunan Bumiputera Kementerian Kerjaraya yang bertindak selaku urus setia dalam pengagihan senarai nama kontraktor Kelas F. 

Kementerian juga berharap melalui dasar ini kontraktor Kelas F yang memperoleh projek akan dapat membantu menjana kesan agihan ekonomi yang lebih baik kepada masyarakat setempat di mana projek berkenaan dilaksanakan. 

Selain itu, kementerian juga berharap dasar ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan masalah kebanjiran dan penempatan buruh asing yang terlalu ramai di dalam sesuatu projek besar kerana skop kerja kecil yang kebiasaannya diberikan kepada buruh asing, diberikan kepada kontraktor Kelas F tempatan yang sememangnya tinggal di kawasan di mana projek dilaksanakan. 

Ini sedikit sebanyak dapat mengelakkan lambakan penempatan buruh asing di setiap tapak projek binaan. Bagi memastikan kualiti projek tidak terjejas seperti spesifikasi ditetapkan, sebelum sesuatu bayaran dibuat kepada kontraktor Kelas F oleh kerajaan, maka kontraktor Kelas F perlu mengemukakan tuntutan bayaran hasil kerja yang dilaksanakan kepada kontraktor utama. 

Kontraktor utama akan memeriksa kualiti kerja itu dan selepas berpuas hati dengan hasil kerja, akan membuat syor kepada pihak kerajaan untuk pembayaran. Wakil pegawai penguasa akan membuat pemeriksaan pengesahan pembinaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan, akan membuat perakuan sebelum pembayaran terus dibuat kepada kontraktor Kelas F. 

Oleh itu, tidak timbul masalah ketidaksamaan kualiti binaan antara kontraktor utama dan kontraktor Kelas F. Garis panduan dan tatacara pelaksanaan skop kerja akan diberikan oleh kontraktor utama kepada kontraktor Kelas F ketika sesi pelantikan dan disaksikan oleh wakil pegawai penguasa projek yang dilantik oleh kerajaan. 

Melalui proses ini, kontraktor Kelas F dapat merasai proses kerja yang dilalui oleh kontraktor utama dan dapat membina keyakinan kontraktor Kelas F untuk menaik taraf kelas kelayakan kontraktor dan seterusnya menjadi kontraktor yang lebih besar, mampan dan berdaya saing. 

Sehingga kini 67 projek bernilai RM3.38 bilion sudah dikendalikan mengikut dasar ini, membabit sebanyak 1,728 kontraktor Kelas F yang menikmati faedahnya berjumlah RM334 juta. 

Kementerian berharap dengan kejayaannya dasar ini, maka matlamat kerajaan untuk mencapai Wawasan 2020 akan tercapai seterusnya menjadikan kementerian ini sebagai pemacu utama dalam pembangunan fizikal yang profesional di Malaysia. 

Penulis ialah Setiausaha Bahagian Pembangunan Bumiputera, Kementerian Kerjaraya 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian