MMR2 disah selamat | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang kerangka pengikat (tie-frame) dalam tempoh dua minggu ini pada tiang rasuk jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang retak 3 Ogos lalu, sementara menunggu kerja baik pulih kekal selesai. 

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid, berkata JKR memberi jaminan laluan itu selamat untuk kegunaan kenderaan kerana keretakan terbabit tidak menjejaskan kekukuhan struktur asas tiang. 

"Selepas pemasangan kerangka pengikat, JKR akan melakukan siasatan terperinci yang dijangka selesai dalam tempoh lapan minggu, dan ia menjadi asas menentukan kerja baik pulih terbaik bagi menyelesaikan isu kerosakan MRR2. 

"Siasatan awal mendapati kerosakan terbaru berpunca daripada kerja pembaikan tambahan oleh syarikat perunding Jerman, Leonhardt Andra & Partners, bukan disebabkan pembinaan kontraktor asal laluan itu Konsortium Bumi Hiway, Sukmin dan KKMJB. 

"Kita belum pasti siapa yang akan menanggung kos baik pulih ini tetapi yang penting, laluan ini selamat untuk digunakan," katanya dalam sidang media selepas mendengar taklimat JKR berhubung baik pulih MRR2, di sini, semalam. 

Terdahulu, beliau dan timbalannya, Dr Tan Seng Giaw, sembilan anggota PAC serta Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim selain kakitangan Parlimen dan Kementerian Kerja Raya meninjau keadaan tiang rasuk jejambat MRR2 nombor 28 yang retak. 

Jejambat sejauh 1.7 kilometer yang mula dibuka pada 1999 itu, adalah sebahagian daripada Pakej II MRR2 berharga RM238 juta yang dibina Konsortium Bumi Hiway, Sukmin dan KKMJB berdasarkan pelan lakaran syarikat kejuruteraan Maunsell, Sharma dan Zakaria Sdn Bhd (MSZ). 

Ini adalah kali ketiga tiang rasuk jejambat MRR2 rosak. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian