Kontraktor terima bayaran 2 kali | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

Kemudahan khas termasuk lanjut tempoh siap projek dilaksana: Nor Mohamed

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberi kemudahan khas berhubung pelaksanaan perubahan harga dalam kontrak kerja kepada kontraktor menerusi bayaran kemajuan interim dua kali sebulan dan membenarkan lanjutan tempoh siap sehingga tiga bulan bagi projek dalam pembinaan. 

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata pembayaran dua kali sebulan itu bertujuan membantu aliran tunai kontraktor yang berdepan kenaikan harga bahan binaan secara mendadak. 

Katanya, kebenaran kepada kontraktor melanjutkan tempoh siap pembinaan projek kerajaan itu, bagaimanapun tertakluk kepada syarat ditetapkan. 

"Kerajaan yakin langkah ini membolehkan kontraktor menyiapkan projek kerajaan dengan sempurna mengikut tempoh ditetapkan. 

"Kelancaran pelaksanaan projek pembangunan penting bagi memastikan rakyat mendapat manfaat, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pembinaan dan pembangunan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini, semalam. 

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan menyemak semula harga kontrak projek pembangunan yang sudah dimeterai dengan kontraktor pembinaan bagi membantu mereka menampung kesan kenaikan harga bahan binaan. 

Nor Mohamed berkata, kerajaan sudah bersetuju memberi kemudahan mengenai perubahan nilai kontrak sebagai tanda prihatin bagi membantu kontraktor. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian