KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kerajaan bersetuju menilai semula harga kontrak pembangunan yang telah ditandatangani ekoran berlaku kenaikan harga bahan binaan terutama besi keluli dan simen.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan langkah tersebut, ia dapat membantu meringankan bebanan syarikat binaan dan kontraktor yang terlibat berikutan berlaku kenaikan kos barang-barang binaan.
Katanya, maklumat lanjut mengenai langkah kerajaan tersebut akan dinyatakan dalam satu surat pekeliling yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.
"Ini merupakan antara bantuan kita iaitu dengan mengkaji semula harga kontrak pembangunan yang sebelum ini telah ditandatangani antara syarikat binaan dan kerajaan.
"Namun begitu, projek yang dinilai semula tidak melibatkan semua projek. Ia hanya melibatkan projek tertentu sahaja," katanya di sini hari ini.
Kata Najib, kerajaan berhak untuk tidak mengkaji kontrak yang sebelum ini telah pun ditandatangani, tetapi disebabkan berlaku keadaan luar biasa kerajaan bersetuju untuk berbuat demikian.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib mahu kontraktor serta usahawan bumiputera mengubah bentuk pemikiran mereka supaya lebih strategik sekiranya mahu maju dalam bidang yang diceburi.