Hujan lebat: KL sesak Terowong SMART tutup | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 4 Sep. - Ekoran hujan lebat berterusan selama tiga jam bermula kira-kira 2 petang beberapa kawasan di ibu negara mengalami kesesakan jalan raya yang teruk.

Antara kawasan paling teruk mengalami kesesakan ialah di sepanjang Jalan Tun Razak, Jalan Mahameru, Bulatan Pahang dan Jalan Ampang dengan di sesetengah tempat dinaiki sedikit air.

Keadaan diburukkan lagi apabila Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (smart) yang menjadi laluan alternatif warga kota ditutup sejak pukul 3 petang.

Penutupan itu bagi membolehkan pengaliran air yang memenuhi Sungai Klang dan Sungai Gombak ke kolam takungan di Taman Desa, Seri Petaling.

Ketua pegawai tafik dan Keselamatan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. (SMART), Mohd. Razali Osman berkata, ekoran arahan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), terowong itu terpaksa ditutup kepada sebarang kenderaan.

Melebihi

Menurutnya, ia berikutan air di Sungai Klang dan Sungai Gombak yang melebihi paras ditetapkan serta perlu disalurkan melalui Terowong SMART ke kolam takungan di Taman Desa.

"Kita akan dapakkan perkembangan dari semasa kesemasa.  Sehingga petang ini, terowong masih dipenuhi air," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Trafik Kuala Lumpra pula berkata, keadaan lalu lintas menjadi lebih sesak apabila orang ramai perpusu-pusu pulang ke rumah untuk berbuka puasa kira-kira pukul 5 petang.

"Orang ramai berpusu-pusu balik berbuka puasa di rumah menyebabkan kesesakan di jalan-jalan utama," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, tiada laporan mengenai kejadian banjir diterima meskipun hujan lebat beberapa jam pada hari ini.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia