KUALA LUMPUR 4 Sept. - Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menutup jalan di bawah jejambat Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) antara tiang 20 hingga tiang 33 berhampiran Stesen Sentral di Kepong.
Penutupan pada 6 hingga 8 September itu adalah bagi membolehkan kerja-kerja awalan pembaikan tiang 28 jejambat MRR2 dilaksanakan dengan lancar dan keselamatan awam terjamin.
Ibu pejabat JKR dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam memberitahu, tujuh lokasi menghala ke bawah jejambat tersebut terlibat dengan penutupan jalan itu.
Lokasi itu ialah jejambat Jalan Kepong ke bawah MRR2, susur Jalan Kepong ke bawah MRR2, susur Jalan Kepong Garden ke bawah MRR2 dan jalan keluar Kompleks Desa ke bawah MMR2.
Turut ditutup ialah simpang Persiaran Mahagony ke MRR2, susur MRR2 ke bawah MRR2 berhampiran stesen minyak BHP dan susur stesen minyak BHP/Esso ke bawah MRR2.
Bagaimanapun, kata kenyataan itu, bahagian atas jejambat MRR2 di Kepong masih dibuka dan boleh dilalui oleh semua kenderaan.
Pengguna jalan raya diminta merancang perjalanan, menggunakan laluan alternatif dan memberikan kerjasama serta mematuhi arahan papan tanda dan juga petugas MRR2.