KUALA LUMPUR - Laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan akan kembali terang tidak lama lagi apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil inisiatif membaik pulih lampu di laluan tersebut dengan segera.
Pembantu Teknik Elektrik JKR cawangan Shah Alam, Muhd. Asyikun Ilahi Ismail bagaimanpun berkata, proses baik pulih berkenaan akan mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan Tenaga Nasional Malaysia (TNB) dan juga pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, usaha membaik pulih itu adalah untuk kemudahan, keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal yang menggunakan laluan tersebut.
"Pihak kami dalam proses membaik pulih dan menambah lampu-lampu jalan dilantik sudah pun memulakan usaha membaik pulih itu," katanya ketika dihubungi di sini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan memgenai laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan yang gelap sehingga boleh membahayakan penunggang motosikal termasuk berisiko tinggi terlibat dalam kemalangan dan juga menjadi mangsa penjenayah.
Muhd. Asikun Ilahi menambah, pihaknya sudah beberapa kali membaik kemudahan lampu dan lain-lain di laluan tersebut tetapi kemudahan itu sering menjadi mengsa vandalisme.
"Golongan yang melakukan vandalisme ini langsung tidak memikirkan soal keselamatan pengguna laluan itu kecuali keseronokan mereka sendiri," tegasnya.
Beliau menambah, pihaknya akan menubuhkan pasukan bermotosikal bagi memantau lampu-lampu jalan di laluan motosikal sentiasa dalam keadaan baik dan tidak dirosakkan.