Kajang 22 Ogos - Pakej pertama Lebuh Raya Kajang - Seremban (Lekas) dari Kajang Selatan ke Pajam, Negeri Sembilan, dibuka secara rasmi untuk lalu lintas hari ini.
Laluan tiga lorong lebuh raya sepanjang 18.2 kilometer (km) itu boleh digunakan secara percuma sehingga 4 Oktober ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed berkata, projek pembinaan pakej pertama itu dimulakan pada tahun 1998 dan disiapkan pada Julai lalu iaitu lima bulan lebih awal daripada jadual asal.
"Kerajaan dan syarikat konsesi telah bersetuju untuk tidak mengenakan tol bagi pakej satu lebuh raya ini bermula hari ini sehingga 4 Oktober depan.
"ini bermakna, orang ramai boleh menggunakannya secara percuma pada musim sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dan Hari Raya Aidilfitri kelak," katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap pada majlis perasmian pakej pertama Lekas yang dihadiri wakil Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd.,Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja?afar di Plaza Tol Kajang Selatan, di sini hari ini.
Mengenai pakej kedua membabitkan laluan dari Pajam ke Sentul sepanjang 14.5 km, Mohd Zin berkata, ia dipecahkan kepada dua bahagian iaitu pakej 2A dan 2B.
Katanya, Kerja-kerja pembinaan pakej 2A telah dimulakan sejak Januari 2007 dan dijangka siap pada Disember ini, manakala pakej 2B yang terlibat dengan penjajaran semula dijangka siap pada awal tahun 2010.
"Pakej ketiga yang bermula dari Setul hingga ke pertemuan Jalan Seremban-Kuala Pilah di Paroi, Negeri Sembila pula dijangka siap pada bulan Mac 2009.
"Pakej satu dan dua lebuh raya ini menggunakan sistem tol tertutup, manakala pakej ketiga menggunakan sistem tol terbuka,"katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zin berkata, kos pembinaan lebuh raya sepanjang 44.3 km itu membabitkan perbelanjaan RM1.75bilion.