SEPANG: Kerajaan sedang mempertimbang cadangan mewujudkan laluan alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas teruk yang sering dihadapi pengguna di Lebuh Raya Damansara Puchong, sejak sekian lama.
Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata pihaknya sudah menerima dan mengkaji kertas cadangan pembangunan laluan alternatif dikemukakan Plus Expressways Berhad (Plus).
Beliau berkata, pembinaan laluan alternatif terbabit perlu berikutan kesesakan di LDP sudah mencapai tahap kritikal terutama di sekitar Plaza Tol Bandar Sunway, Puchong dan Sungai Penchala, Damansara.
"Kami banyak mendengar rintihan dan aduan daripada pengguna LDP mengenai tahap perkhidmatan yang amat tidak memuaskan, di mana kualiti perkhidmatan disediakan pemegang konsesi lebuh raya berkenaan terutama di Sungai Penchala dan Bandar Sunway mencapai paras E iaitu paras paling teruk.
"Pertimbangan pembinaan laluan alternatif juga dibuat berdasarkan fakta bahawa purata bilangan kenderaan yang menggunakan LDP yang kini melebihi tahap optimumnya iaitu 120,000 kenderaan sehari," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Per-wakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Sepang di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Zin berkata, kertas cadangan mengenai pembinaan laluan alternatif terbabit sudah dihantar kepada Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk penilaian.
Beliau berkata, pihaknya berharap LLM dan EPU menjalankan kajian terperinci bagi membolehkan pembinaan laluan alternatif berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin.
"Kita percaya pembinaan laluan alternatif berkenaan dapat memberi manfaat dan kemudahan kepada beratus ribu pemilik kenderaan yang selama ini terpaksa berdepan masalah kesesakan lalu lintas ketika menggunakan LDP," katanya.