Plus keluar jadual perjalanan pulang | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

3 peringkat bermula Sabtu elak lebuh raya sesak sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Plus Expressways Berhad (Plus) semalam mengeluarkan jadual perjalanan sempena Aidilfitri membabitkan tiga peringkat bermula Sabtu ini bagi mengelak kesesakan di Lebuh Raya Utara-Selatan. 

Jadual perjalanan itu disarankan pelaksanaannya sepanjang lima hari waktu puncak warga kota menggunakan lebuh raya berkenaan iaitu mulai Sabtu dan Ahad ini, 30 September (sehari sebelum Aidilfitri), serta 4 dan 5 Oktober ini bagi perjalanan pulang ke ibu kota. 

Mulai Sabtu ini, kira-kira 1.3 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya itu setiap hari, berbanding 1.2 juta kenderaan pada Aidilfitri tahun lalu. Sebanyak 6.5 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya berkenaan pada lima hari waktu puncak bagi perjalanan pulang ke kampung dan kembali ke ibu kota. 

Ketua Pegawai Operasi Plus, Nik Airina Nik Jaffar meminta pengguna lebuh raya mengikuti cadangan waktu perjalanan berkenaan yang dirangka hasil kerjasama Plus dengan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AMP Radio Networks. 

"Jadual perjalanan itu pertama kali diperkenalkan pada cuti sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun lalu didapati berjaya mengurangkan kesesakan dengan ketara, di samping melancarkan perjalanan pengguna. 

"Tahun lalu, kira-kira 60 peratus pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan mengikuti cadangan waktu berkenaan dan hasilnya aliran trafik didapati lebih lancar dan teratur berbanding sebelum pelaksanaannya yang mana ramai pengguna terperangkap dalam kesesakan," katanya kepada pemberita pada taklimat media, di sini, semalam. 

Nik Airina berkata, persediaan Plus bagi musim perayaan Aidilfitri kali ini membabitkan penambahan sehingga 1,000 kaunter tol serta penambahan sehingga 4,000 anggota Plus bertugas di lebuh raya berkenaan sepanjang waktu puncak. 

"Kita juga mendapat bantuan 400 anggota pasukan keselamatan dan Rela untuk membantu melancarkan aliran trafik di plaza tol. Selain itu, Plaza Tol Jelapang, Ipoh sudah dirobohkan sepenuhnya dan digantikan dengan Plaza Tol Ipoh Selatan (mula dibuka kelmarin) serta Plaza Tol Ipoh Utara (dibuka sebulan lalu) bagi memastikan keselamatan pengguna lebih terjamin. 

"Plus juga menawarkan perkhidmatan SMS Plus Mobile Alert (PlusMA) pada 27, 28 dan 30 September serta 4 dan 5 Oktober ini, dengan kadar 30 sen satu SMS bagi maklumat trafik terkini Lebuh Raya Utara-Selatan," katanya. 

Beliau berkata, laluan kontra tiga lorong akan dibuka mulai Persimpangan Sungkai ke Persimpangan Slim River bagi perjalanan pulang ke ibu kota pada 4 dan 5 Oktober ini jika keadaan trafik didapati sesak. 

Bagi sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan SMS PlusMA serta berita trafik mutakhir, pengguna lebuh raya berkenaan boleh menghubungi PLUSLine di 1 800-88-0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari. 

Pemandu juga boleh mendengar stesen radio Era, Sinarfm, MY Fm, Hitz.fm, LiteFM, XFresh, THR Raaga dan THR Gegar untuk maklumat trafik terkini.

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian