RMK-9: Kementerian Kerja Raya belanja RM13.4b | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Kementerian Kerja Raya membelanjakan RM13.4 bilion daripada RM20.37 bilion yang diperuntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed memberitahu, jumlah yang dibelanjakan itu merupakan 65.80 peratus daripada keseluruhan peruntukan.

''Bagi prestasi projek, daripada 512 projek yang dirancang oleh kementerian dalam RMK-9 sehingga 31 Ogos lepas, sebanyak 209 projek sudah disiapkan.

''Projek-projek yang telah disiapkan termasuk 158 projek jalan dan jambatan termasuk lebuh raya, 36 projek bangunan dan 15 projek bukan fizikal iaitu kajian serta reka bentuk,'' katanya.

Beliau berkata, demikian ketika mengumumkan prestasi pelaksanaan RMK-9 kementeriannya untuk tempoh separuh penggal iaitu dari tahun 2006 hingga 31 Ogos lepas di sini hari ini.

Peruntukan RMK-9 itu membabitkan RM14.4 bilion untuk membiayai 315 projek jalan serta jambatan, RM4.6 bilion untuk pembinaan lebuh raya, kajian jalan dan program menstabilkan cerun; RM1 bilion untuk membina 89 bangunan dan selebihnya untuk program jentera kuari, komputer, perumahan dan Program Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Mohd. Zin memberitahu, prestasi tahun ini sehingga 31 Ogos lepas pula sebanyak RM3.3 bilion bersamaan 69.05 peratus peruntukan tahunan telah dibelanjakan.

Katanya, pada tahun lepas sebanyak RM5.02 bilion dibelanjakan ataupun 99.23 peratus daripada peruntukan.

''Bagi tahun depan, kementerian telah diperuntukkan RM2.589 bilion bagi melaksanakan dan menyiapkan baki 312 projek yang sedang dilaksanakan ataupun dirancang.

''Pada masa ini terdapat 266 sedang dalam pelaksanaan sementara 46 projek lagi sedang dalam perancangan ataupun dalam proses reka bentuk,'' katanya.

Beliau juga mengumumkan bahawa para kontraktor yang melaksanakan projek-projek di bawah kementeriannya telah diberikan tempoh tambahan sebanyak tiga bulan untuk menyiapkan projek bagi mengelakkan tekanan kenaikan harga barang-barang binaan.

Jelasnya, tambahan tempoh tiga bulan itu membolehkan kontraktor mengatur jadual pembelian bahan-bahan binaan agar permintaan tidak terlalu banyak dalam satu-satu masa.

Mohd. Zin juga memberitahu, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga sedang menilai peningkatan kos projek-projek yang sedang dijalankan oleh kementerian bagi membolehkan kerajaan membuat keputusan jumlah peruntukan tambahan yang perlu diberikan kepada kontraktor.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia