KUALA LUMPUR Pengguna Lebuhraya Utara Selatan terutama yang tidak sempat sampai ke destinasi masing-masing sebelum waktu berbuka, kini boleh mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah.
Ini berikutan langkah PLUS Expressways Berhad (PLUS) membuka bazar Ramadan di kawasan terbabit sepanjang lebuh raya itu sejak 13 September lalu hingga 6 Oktober ini.
Pengurus Besar Komunikasi Korporat PLUS, Khalilah Mohd. Talha berkata, gerai-gerai jualan itu dibuka dari pukul 12 tengah hari hingga 9 malam sepanjang tempoh tersebut.
R&R yang terlibat ialah Sungai Perak (arah utara), Hentian Sebelah Bukit Gantang (arah utara), R&R Gunung Semanggol (kedua-dua arah), Hentian Sebelah Juru (arah utara), R&R Gurun (kedua-dua arah), R&R Tapah (arah utara), R&R Pagoh (arah selatan) dan R&R Gelang Patah (arah selatan).
Katanya, selain juadah berbuka puasa, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai kelengkapan berhari raya seperti baju kurung, baju Melayu, songkok dan butang baju Melayu.
"Baju kemeja, seluar jeans, barangan perhiasan rumah dan bunga turut dijual di bazar Ramadan itu," katanya.