Lebuh raya, R&R dinaik taraf musim perayaan ini | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

SEPANG 14 Sept. - Semua lebuh raya dan Jalan Persekutuan di negera ini termasuk kawasan Rawat dan Rehat (R&R) akan dinaik taraf demi keselesaan pengguna semasa musim perayaan ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohamed Zin Mohamed berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) telah diarahkan melakukan kerja-kerja menaik taraf serta membaik pulih infrastruktur kawasan berkenaan bagi memastikan ia berada di tahap terbaik.

"Kita akan memastikan semua lebuh raya berada dalam tahap terbaik.  Saya sudah arahkan JKR membaik pulih serta-merta jalan yang rosak termasuk di Kedah dan Pulau Pinang yang terlibat dengan banjir baru-baru ini.

Apabila musimm perayaan, lebuh raya jadi padat dan  tempat R&R sesak menyebabkan kemudahan  banyak akan rosak, Saya sudah arahkan PLUS memastikan segala-galanya berada dalam keadaan terbaik bagi keselesaan pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan fakir miskin bagi kawasan Parlimen Sepang di sini hari ini.

Beliau turut memberikan sumbangan kepada 34 masjid dan 121 surau di sekitar Parliman itu bagi kegunaan sepanjang bulan Ramadan ini,

Dalam pada itu, beliau berkata, kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya akan dihentikan smentara waktu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas berlaku semasa orang ramai pulang berhari raya.

"Mana-mana pembinaan yang melibatkan jangka masa panjang dan akan menyebabkan lalu lintas tersekat hendaklah diberhentikan dalam masa perayaan ini melainkan kerja-kerja kecamasan.

"Kita turut mengarahkan Bahagian Penyelenggaraan Jalan Raya untuk memastikan aliran terifik dapat berjalan lancar terutama keadaan lampu isyarat di pekan-pekan kecil," jelasnya.

Mohd Zin menambah, bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya semasa musim perayaan, kadar had laju maksimum akan ditentukan dalam masa terdekat.

"Kalau ada keperluan kita akan umumkan kadar had laju dalam masa terdekat ini dan kita akan membantu Majlis Keselamatan Jalan Raya dalam kempen keselamatan jalan raya untuk menjamin keselamatan pengguna," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia