Modal insan berkemahiran dipertingkat | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerjaraya mensasarkan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti modal insan negara yang berkemahiran tinggi dalam industri pembinaan bagi menggantikan 318,000 pekerja asing yang terbabit dalam sektor itu. 

Menterinya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata modal insan berkualiti tidak semestinya lahir daripada kecemerlangan akademik, malah kini terbukti golongan yang berkemahiran tinggi khususnya dalam rekaan dan pembinaan turut berjaya mengecapi hidup mewah. 

Katanya, usaha mengenal pasti golongan ?kurang cemerlang dalam akademik tapi cemerlang dalam kemahiran? pada peringkat sekolah amat penting bagi memastikan perjalanan membentuk menjadi modal insan berkualiti berjaya dilaksanakan di peringkat awal. 

"Kita tidak mahu terus bergantung pada pekerja asing, jadi rakyat perlu berusaha meningkatkan kemahiran dan berani menceburi bidang ini kerana ia berpotensi meningkatkan taraf hidup selain pasaran kerjanya yang luas," katanya pada sidang media selepas melancarkan logo Pertandingan Kemahiran Asean (ASC) ketujuh, di sini, semalam. 

Mohd Zin berkata, pertandingan yang dianjurkan pada musim cuti sekolah itu dijangka menarik seramai 10,000 pengunjung sehari, selama tiga hari, bermula 14 November ini. 

"Kita juga berhasrat menjadikan pertandingan itu sebagai tapak untuk golongan muda meminati bidang berkemahiran, mengasah kreativiti dan membudayakan inovasi, khususnya bidang pembinaan melalui program yang akan dianjurkan seperti membina Lego terbesar," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian