Pengendali LDP wajar kurangkan kadar tol | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR: Syarikat konsesi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) disyor memenuhi tanggungjawab sosial korporat dengan menawarkan potongan kadar tol memandangkan keadaan kewangannya menguntungkan walaupun laluan terbabit kini dirundung masalah kesesakan dan kemalangan. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata kerajaan membayar pampasan tunai RM630.5 juta kepada LDP bagi pengurangan dan penyusunan semula kadar tol antara 1999 hingga 2007 manakala kutipan tol sejak tempoh konsesi bermula pada 31 Disember 1996 pula mencecah RM1.28 bilion. 

"Ini bermakna, LDP adalah lebuh raya yang merekodkan keuntungan dan sewajarnya meringankan sedikit beban pengguna kerana tempoh konsesi mereka hanya berakhir pada 31 Disember 2029. 

"Tambahan pula, mutu perkhidmatan lebuh raya ini sudah merosot hingga ke tahap 'F' di Plaza Tol Petaling dan Penchala serta tahap 'D' di Plaza Tol Puchong Barat dan Puchong Selatan manakala lokasinya pula tidak menyediakan laluan alternatif yang munasabah. 

"Justeru, saya berpendapat pengguna lebuh raya ini wajar mendapat sedikit pampasan dari segi pengurangan tol," katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam. 

LDP juga merekodkan kadar kemalangan tinggi iaitu 1,561 kes antara Januari hingga September 2008. 

Sementara itu, bercakap pada sidang media selepas majlis sambutan Aidilfitri kementeriannya di sini, semalam, Mohd Zin berkata, Malaysia sekali lagi mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dipilih menjadi tuan rumah Pertandingan Kemahiran Asean (ASC) ke-7 yang bakal berlangsung dari 14 hingga 16 November ini. 

Pada pertandingan itu, Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) bertindak sebagai penyelaras dan Jawatankuasa Kebangsaan yang dinaungi Kementerian Kerja Raya bagi memastikan kelancaran pertandingan serta memenuhi standard ditetapkan. 

"Sebanyak 19 kategori akan dipertandingkan pada pertandingan itu dan ia akan disertai semua negara ASEAN. Ini adalah julung kali semua negara ASEAN mengambil bahagian namun hanya Malaysia, Indonesia serta Vietnam saja yang akan bertanding dalam semua acara," katanya. 

Pada majlis sama, beliau turut merasmikan Galeri Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang berfungsi sebagai pusat rujukan setempat oleh pihak kerajaan bagi hal-hal berkaitan dengan pelaksanaan IBS serta penggiat industri IBS melalui perkongsian maklumat bersama agensi kerajaan terbabit. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian