Alternatif LDP dicadang | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

SEPANG 12 Okt. - Kementerian Kerja Raya sedang mengkaji cadangan yang dikemukakan PLUS Expressways Berhad (PLUS) untuk membina satu laluan alternatif baru bagi mengurangkan masalah kesesakan di Lebuh raya Damansara Puchong (LDP) yang kini sudah dikategorikan sebagai 'paling teruk'. 

Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, pembinaan laluan alternatif itu dianggap sebagai perlu berikutan kesesakan di LDP sudah berada di tahap kritikal terutama di plaza tol Sunway dan Sungai Penchala. 

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak rintihan dan aduan daripada pengguna LDP tentang tahap perkhidmatan yang tidak memuaskan terutama di dua plaza tol itu yang sudah dikategorikan pada tahap E iaitu paling teruk.

"Selain itu, jalan baru itu juga diperlukan kerana jumlah kenderaan yang melalui lebuh raya itu (LDP) juga sudah melebihi tahap optimum iaitu 120,000 kenderaan sehari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat serentak Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Sepang di sini hari ini. 

Mohd. Zin berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sudah diarah mengkaji dan menimbang laluan alternatif berkenaan.

Malah, katanya, cadangan itu sudah pun dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk diteliti supaya langkah segera bagi menyediakan laluan itu dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, apabila laluan alternatif itu disiapkan kelak, ia akan dapat dimanfaatkan beribu-ribu pengguna di sekitar Lembah Klang, sekali gus memberi keselesaan dan menjimatkan kos mereka.

Difahamkan, laluan baru yang akan melibatkan pengambilan tanah itu bakal bagi memberi pilihan kepada pengguna sama ada untuk menggunakan LDP atau jalan yang baru itu.

Ditanya mengenai perkembangan Lebuh raya Pantai Timur (LPT), beliau berkata, pakej kedua antara Jabor ke Telemong yang membabitkan laluan sejauh 180 kilometer dijadualkan siap menjelang Mei 2011.

"Projek pembinaan LPT berjalan lancar, cuma dalam proses penjadualan semula di mana kontraktor diberi tempoh tambahan 12 bulan untuk menyiapkan projek berkenaan akibat kenaikan kos bahan mentah.

"Apabila kita buat penjadualan semula, ia akan menstabilkan penawaran dan permintaan. Lagipun, kita tidak perlu menyiapkan lebuh raya itu dalam keadaan tergesa-gesa... lambat sikit pun tak apa, bukan kritikal," katanya. 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia