LANGKAH kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya yang mahukan bangunan di negara ini dibina menggunakan kaedah Sistem Binaan Industri (IBS) bertepatan pada masa ini.
Penggunaannya mampu menyelesaikan beberapa masalah iaitu mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing, aliran wang ke luar negara oleh pekerja asing melalui institusi kewangan yang menyediakan perkhidmatan pengiriman wang, meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam industri pembinaan.
Kebanyakan negara maju di dunia sudah menggunakan teknik IBS. Di Malaysia sistem berkenaan sudah lama wujud cuma ia tidak mempunyai pasaran disebabkan tidak ditonjolkan selain tiada pemantauan dan jaminan bagi membolehkan kontraktor menggunakan sistem itu.
Namun, selepas Kementerian Kerja Raya memberi kepastian akan membangunkan IBS secara lebih teliti, keyakinan kontraktor dijangka bertambah, sekali gus dapat dipraktikkan dalam sektor pembinaan negara yang memerlukan peningkatan kualiti dan hasil kerja terbaik.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed sendiri memberi komitmen kementeriannya menubuhkan Sekretariat IBS Kebangsaan yang berperanan menyelaras serta memantau pelaksanaan sistem itu.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) juga sudah membangunkan Pusat IBS sebagai pusat rujukan setempat oleh semua pihak bagi merancang, mereka bentuk, mengeluar, melatih, mengeluarkan pensijilan dan penggunaan teknologi maklumat berkaitan syarikat IBS.
Pusat IBS itu juga menyediakan kemudahan seperti bilik latihan, galeri, dewan pameran, makmal pengujian, perkampungan IBS dan inkubator yang menawarkan ruang pejabat kecil kepada individu atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan atau jualan berkaitan IBS.
Keyakinan Kementerian Kerja Raya itu mempunyai asasnya apabila IBS dilaksanakan, jumlah pekerja asing yang pada masa ini menguasai 75 peratus tenaga kerja di sektor pembinaan akan dapat dikurangkan kepada 15 peratus sahaja bermula tahun depan.
Penggunaan IBS sepenuhnya pasti mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing yang kini merangkumi 75 peratus daripada 315,000 tenaga kerja dalam sektor berkenaan.
Pengurangan bilangan pekerja asing itu akan mengurangkan aliran keluar wang negara yang dilakukan pekerja terbabit ke negara masing-masing.
Hingga Jun lalu, jumlah aliran dana keluar negara membabitkan pekerja asing dianggarkan RM10 bilion dan hingga akhir tahun ini, bilangannya dijangka mencecah RM18.1 bilion.
Sehubungan itu, sebagai langkah awal IBS atau dikenali juga sebagai sistem pembinaan pasang siap akan dilaksanakan dalam semua projek kendalian Jabatan Kerja Raya bernilai RM6.9 bilion.
Mohd Zin memberitahu kaedah IBS dapat menjimatkan kos kontraktor kerana rumah yang dibina boleh dijual pada harga lebih rendah.
Sehingga ini, banyak projek kerajaan seperti pembinaan rumah untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sekolah baru di seluruh negara turut menggunakan sistem IBS.
Mengulas lebih mendalam mengenai IBS, Mohd Zin memaklumkan, pembinaan jejambat di jalan raya juga boleh menggunakan sistem IBS yang lebih memudahkan selain kekukuhan struktur pembinaannya diakui di peringkat antarabangsa.
Jika sebelum ini pekerja perlu membancuh simen di tapak pembinaan, dengan penggunaan kaedah ini mereka tidak lagi diperlukan.
Kerangka seperti dinding bangunan atau strukturnya sudah disiapkan di kilang IBS.
Kontraktor hanya perlu membawa bahan yang ditempah mengikut ukuran ke tapak pembinaan.
Kerajaan akan memastikan menjelang 2015, semua projek pembinaan di negara ini menggunakan IBS seperti diamalkan di negara maju.
Sementara itu, bagi kontraktor tempatan, mereka menyambut baik langkah kerajaan menggunakan IBS kerana dapat memberi keuntungan kepada semua pihak iaitu, kontraktor sendiri, pengguna dan kerajaan.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Roslan Awang Chik, berkata kontraktor tidak menghadapi sebarang masalah dengan saranan kerajaan yang mahu menggunakan IBS dalam industri pembinaan.
Persatuan juga yakin kerajaan sudah mempunyai satu pelan induk mengenai IBS dengan kerjasama CIDB bagi memberi manfaat kepada semua pihak, termasuk kontraktor.
Menurutnya, kontraktor menjangkakan mungkin menghadapi masalah pada permulaan iaitu perlu menggunakan modal besar tetapi ia mungkin dapat dibantu kerajaan.
Beliau berkata, kajian mengenai IBS dan pelannya sudah siap dibina bagi mengatasi sebarang masalah.
Untuk jangka masa panjang, katanya, IBS adalah terbaik kerana kerajaan dapat menghalang pengaliran wang keluar negara, kontraktor pula dapat menyiapkan projek dengan cepat dan kukuh serta pengguna mendapat bangunan dengan mutu lebih baik.
Persatuan akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya dan CIDB dalam melaksanakan IBS, apatah lagi kerajaan sendiri memberi jaminan akan melakukannya secara serius.