KUALA LUMPUR 3 Nov. - Sistem gantri untuk kenderaan tidak perlu berhenti ketika melalui palang elektronik plaza tol akan dilaksanakan sebagai percubaan selama setahun di Plaza Tol Batu Tiga, Lebuh Raya Persekutuan mulai hujung bulan ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, sehubungan itu 1,000 pengguna tetap lebuh raya tersebut akan diberi kad pembayaran elektronik bagi tujuan berkenaan.
Beliau berkata, dalam tempoh itu, pengguna terbabit akan memberi maklum balas keberkesanan sistem gantri bagi memudahkan kerajaan memperluaskan pelaksanaannya.
''Tempoh percubaan merupakan waktu kritikal bagi kerajaan mengkaji keberkesanan dan kelemahan sistem gantri daripada segi teknikal dan undang-undang sebelum melaksanakannya secara menyeluruh,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Malaysia di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.
Hadir sama Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia, David Collins, Presiden ITS Malaysia, Datuk Ir. Mohamad Husin, Presiden ITS Kanada, Joseph Lam dan Pengerusi Seminar Persatuan ITS Malaysia, Ir. Amir Kassim.
Mohd. Zin berkata, walaupun sistem gantri digunakan sebagai percubaan, pengguna Lebuh Raya Persekutuan yang melalui Plaza Tol Batu Tiga masih boleh membayar tol secara tunai, kad Touch 'n Go dan Smart Tag.
Beliau menambah, tidak seperti Smart Tag yang menggunakan sistem infra-merah, sistem gantri menggunakan gelombang mikro yang mampu membaca data pada kad prabayar elektronik pengguna ketika kenderaan dipandu laju.
''Langkah ini dijangka boleh membantu mengatasi masalah kesesakan di plaza-plaza tol di seluruh negara pada waktu puncak,'' katanya.
Katanya, sistem gantri itu dibangunkan secara percuma oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan dua pengeluar sistem gantri iaitu Mitsubishi dari Jepun bersama Kapsh dari Sweden.
''Sistem gantri digunakan secara meluas di Jepun dan negara-negara Eropah serta Australia,'' katanya.
Penggunaan sistem gantri membolehkan kereta melalui palang elektronik pada kelajuan tertentu dan tidak perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan seperti pengguna kad Smart Tag.
Ia membolehkan sejumlah 2,000 kenderaan melalui plaza tol setiap jam berbanding penggunaan Smart Tag iaitu 800 kenderaan sejam dan sistem bayaran tunai yang hanya membolehkan 400 kenderaan melalui plaza tol sejam.