Malaysia anjur Pertandingan Kemahiran Asean | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

MALAYSIA diberi penghormatan untuk menganjurkan Pertandingan Kemahiran Asean (ASC) kali ketujuh yang akan diadakan di Akademi Binaan Malaysia, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada 14 hingga 16 November depan. 

Pertandingan itu akan diselaraskan oleh Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB), manakala Jawatankuasa Kebangsaan yang dinaungi Kementerian Kerja Raya (KKR) ditubuhkan bagi memastikan pertandingan itu berjalan lancar dan memenuhi standard antarabangsa. 

ASC dipengerusikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato' Ir Mohd Zin Mohamed dan dianggotai beberapa Ketua Setiausaha Kementerian Berkaitan, Ketua Pengarah Jabatan/Agensi di bawah KKR dan syarikat swasta. 

Mohd Zin berkata, pertandingan itu akan disertai semua 10 negara Asean dalam 19 bidang kemahiran. 

"Ini adalah kali pertama kesemua 10 negara Asean mengesahkan penyertaan. Bagaimanapun hanya Malaysia, Indonesia dan Vietnam saja yang akan bertanding dalam kesemua 19 acara dipertandingkan. 

"Sehingga 10 September lalu, semua 10 negara Asean mengesahkan penyertaan membabitkan 386 peserta, manakala delegasi Indonesia turut disertai Menteri Buruh dan Transmigrationnya, Erman Suparno. 

"Malaysia sebagai tuan rumah akan menyertai kesemua 19 acara dan akan menghantar 38 peserta, 24 pakar dan dua ketua pasukan," katanya. 

Kategori yang dipertandingkan pada kali ini adalah teknologi automotif, terapi kecantikan, terapan batu-bata, pembuatan kabinet, CADD, memasak, pemasangan sistem elektrik, teknologi rekaan grafik, elektronik industri, aplikasi IT, pencantuman atau joinery. 

Turut dipertandingkan pembuatan pakaian wanita, mekatronik, pemasangan paip, penyejuk bekuan, perkhidmatan restoran, kemasan lantai dan dinding, rekaan web dan kimpalan. 

Pemenang akan menerima hadiah pingat emas, perak dan gangsa.  Turut disediakan adalah Pingat Cemerlang dan Negara Terbaik. 

Sehingga Ogos 2008, pihak urus setia menerima sumbangan penajaan daripada 13 syarikat yang kebanyakannya berbentuk pinjaman peralatan. 

Antara penaja adalah CIDB, Proton, Universiti Kuala Lumpur, Festo, Design Technology Alliance (DTA), Stanley, Unipac, Irwin Industrial Tools, Panasonic, Elestarm Beaubelle, Ingram Micro dan Hewlet Packard (HP). 

Pertandingan ini mensasarkan kehadiran 50,000 pengunjung dan pelajar sekolah digalakkan menghadirinya kerana pertandingan itu adalah pendedahan untuk mereka yang berminat menceburi bidang kemahiran pada masa akan datang. 

Ia adalah selari dengan usaha CIDB yang mahu menyediakan 100,000 peluang latihan kemahiran bagi meningkatkan daya saing tenaga kerja negara. 

"Penganjuran acara ini sangat penting kerana ia menggalakkan budaya inovasi di kalangan ASEAN yang mempunyai penduduk seramai 576 juta orang dan pastinya dapat membantu rantau ini mencatat kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang. 

"Sebagai sahabat dan jiran, negara ASEAN sangat bergantung antara satu sama lain terutama dalam era tanpa sempadan," katanya. 

Maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh diperoleh menerusi laman web http://aseanskills.kkr.-gov.my. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian