Plus bantu kontraktor kelas F, G1 | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

PETALING JAYA 23 Okt. - Projek Lebuhraya Utara Selatan  (PLUS) hari ini melancarkan Program Mentor-Mentee yang bertujuan membantu meningkatkan keupayaan kontraktor bumiputera Kelas F dan Gred G1.

Melalui program itu, kontraktor bumiputera Kelas F dan Gred G1 diberi peluang untuk menimba pengalaman bekerja menerusi kontrak-kontrak yang ditawarkan PLUS kepada kontraktor utama.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, kontraktor yang memperoleh projek akan membantu menjana agihan ekonomi yang lebih baik kepada masyarakat setempat di lokasi projek dilaksanakan.

"Langkah ini adalah sejajar dengan dasar Kementerian Kerja Raya untuk mengagihkan 10 peratus daripada nilai kontrak yang ditawarkan kepada kontraktor bumiputera Kelas F dan Gred G1," katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada majlis Pengenalan Logo Baru PLUS Expressways dan Pelancaran Program Mentor-Mentee di sini hari ini.

Mohd Zin turut mengingatkan PLUS supaya menjalankan kajian berterusan tentang masalah yang dihadapi pengguna sebelum ia dibangkitkan.

"PLUS perlu menetapkan satu tanda aras dalam pengendalian lebuh raya di negara ini yang boleh dicontohi oleh pemegang konsesi lain.

"Setiap rungutan pengguna perlu diberi perhatian dan jangan sekadar masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.  Sebagai pengguna mereka mahukan perkhidmatan yang setimpal dengan bayaran," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Noorizah Abd. Hamid berkata, menerusi program Mentor-Mentee, kontraktor utama akan bertindak sebagai mentor sementara kontraktor Kelas F dan G1 berperanan sebagai mentee.

"Kontraktor Kelas F dan Gred G1 perlu membuat permohonan bertulis kepada PLUS dan mereka akan ditapis sebelum diberikan kontrak melalui kontraktor utama," katanya.

Norizah berkata, logo korporat baru dilancarkan kerana logo PLUS sebelum ini merupakan simbol antarabangsa untuk lebuh raya.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia