PETALING JAYA: Syarikat konsesi lebuh raya, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) sedang berusaha menaik taraf Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) demi meningkatkan mutu perkhidmatannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Litrak, Sazally Saidi berkata, sebagai permulaan syarikat itu memperuntukkan RM200 juta bagi menaik taraf persimpangan bertingkat di Taman Tun Dr Ismail.
"Langkah ini dilakukan atas inisiatif kami sebagai tanggungjawab sosial syarikat bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna LDP.
"Kami akan membesarkan laluan di persimpangan bertingkat itu selain menurap semula jalan di sepanjang lebuh raya," katanya ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Litrak dan Sprint di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Litrak, Richard Lim, Pengarah Eksekutif Litrak, Yusoff Daud, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun serta Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail.
Pada majlis itu Litrak turut menyampaikan sumbangan hamper dan duit raya kepada 20 ibu tunggal dan 15 anak yatim daripada Rumah Amal Limpahan Kasih.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zain Mohamad berkata mutu perkhidmatan lebuh raya itu merosot hingga ke tahap ?F? di Plaza Tol Petaling dan Penchala serta tahap ?D? di Plaza Tol Puchong Barat dan Puchong Selatan manakala lokasinya pula tidak menyediakan laluan alternatif yang munasabah.
Katanya, kementerian menerima banyak aduan daripada pengguna LDP mengenai tahap perkhidmatan di lebuh raya terbabit selain dirundung masalah kesesakan dan kemalangan.