DUKE perlu siap ikut piawai antarabangsa | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR- Kerajaan mahu pemegang konsesi segera menyiapkan beberapa spesifikasi dalam pembinaan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) sebelum ianya dibuka sepenuhnya kepada orang ramai 1 Januari depan.

Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohd Zin Mohamed berkata Konsortium Lebuhraya Utara-Timur Sdn Bhd (Kesturi) perlu melengkapkan kerja-kerja tambahan bagi memastikan pembinaan lebuh raya itu mematuhi piawaian antarabangsa.

"Pembinaan jalan keluar masuk dari kawasan perumahan menghubungkan Jalan Lingkaran Tengah 1 (MRR2) dan melebarkan jalan susur keluar dari DUKE menghala ke jejambar MRR2 dari 3.4 meter kepada 5.6 meter perlu disiapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan teknikal di tapak projek DUKE di sini, semalam.

Jalan susur berkenaan adalah berdekatan dengan kawasan pendudukan di AU2, Taman Hillview, Taman Sri Ukay dan Pusat kebajikan Good Shepherd.

Mohd Zin berkata Kesturi juga perlu mewujudkan kemudahan pusingan U untuk kereta sahaja bagi mengelak kesesakan menghala ke jalan utama MRR2 serta menambah penghadang bunyi berdekatan lebuh raya itu dan kawasan perumahan.

Katanya penghadang bunyi itu perlu ditambah kerana lokasi lebuh raya terlalu hampir dengan kawasan perumahan serta boleh menimbulkan ganguan kepada penduduk.

Beliau berkata pihaknya turut mengarahkan agar paip air yang terletak di bahu jalan di susur keluar dari DUKE perlu dialihkan kerana terlalu hampir dengan jalan raya.

Sementara itu, trafik dari pusat bandar, Jalan Duta dan Hubungan Kerinchi (Lebuhraya SPRINT) menuju ke Plaza Tol Duta, Lebuhraya Lembah Klang Baru(NKVE) menghala ke Ipoh akan dilencongkan ke satu jalan alternatif mulai esok hingga 30 Disember ini.

Menurut kenyataan Kesturi, lencongan jalan sehala itu akan bermula pukul  10 malam esok hingga ke 11.50 malam,  30 Disember ini, bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya DUKE.

Katanya papan tanda maklumat tentang lencongan akan diletakkan di beberapa lokasi strategik di sepanjang jalan sebagai panduan kepada pengguna jalan raya 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian